suria

Go-Kart: Muizzuddin Rasmi 2015 Dengan Naiki Podium

KUALA LUMPUR: Pemandu go-kart sensasi negara, Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar daripada pasukan Gamoto Racing, membuka tirai musim 2015 dengan penuh bergaya dan menaiki podium dalam perlumbaan kelas KF Vega International Winter Trophy di Adria Karting Raceway, utara Itali pada Ahad. 

Muizzuddin, 12, yang pertama kali berlumba dalam kelas itu, menduduki tempat ketiga di belakang pemandu Rusia Artem Petrov dan Ye Yi dari China dalam perlumbaan berkenaan yang dianjurkan World Karting Series Promotions (WSK).

Pemandu yang lebih mesra dengan panggilan Muizz di sekitar paddock ini,meraih pencapaian membanggakan pada setiap musim, termasuk menduduki tempat teratas pada sesi pemanas badan pada pagi Ahad dengan catatan masa 50.533 saat di trek sepanjang 1,289 meter itu.

Pengurus pasukan Salvatore Gamoto dalam kenyataan berkata beliau gembira dengan prestasi Muizzuddin, yang beralih daripada kelas 60 Mini kepada kelas KF Junior.

"Jentera yang digunakan berbeza sama sekali serta memerlukan gaya pemanduandan syarat perlumbaan yang berlainan. Tidak seperti kelas 60 Mini,  pemandu perlu bijak mengawal kenderaannya, dari segi prestasi karburator hinggalah kepada aliran bahan bakar sambil peka dengan pergerakan pesaing. -

"Setakat ini, Muizz melakukannya dengan amat baik. Namun begitu, banyak lagiyang perlu dikuasainya. Semua ini akan diperoleh melalui pemanduan dan pengalaman," katanya.

Gamoto berkata acara di Adria merupakan perlumbaan pemanas badan bagi semua pasukan dan pemandu untuk membiasakan diri dengan jentera dan suasana perlumbaan.

"Ujian sebenar akan dihadapi dua minggu lagi iaitu pada pusingan pembukaan Piala Juara-Juara WSK di La Conca. Kami berharap akan meraih kejayaan di sana kelak," katanya.
|
Sepanjang tiga tahun berlumba dalam kelas 60 Mini, Muizzuddin beberapa kali menaiki podium dan menjadikannya pemandu Malaysia pertama yang melakar pencapaian itu di Eropah.
|
Selain menyertai perlumbaan WSK Champions dan WSK Mssters Series, Muizzuddin juga akan berlumba pada FIA CIK European Karting Championship dan FIA CIK World Karting Championship tahun ini.

Artikel Lain