KUALA LUMPUR: Pasukan Pro Continental yang berdaftar di Amerika Syarikat, Unitedhealthcare (UHC) akan kembali buat kali kelima berturut-turut pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 selepas mempamer persembahan memberangsangkan pada edisi lalu. Pasukan yang dikendalikan oleh Mike Tamayo ini semakin dihormati di pentas antarabangsa, kali ini mereka tampil dengan pelumba yang baru dilamar, Janez Brajkovic yang mencuri tumpuan di Tour de France tidak lama dulu. “Hinggalah pada tahun lalu, kami hanya memberi tumpuan kepada saingan pecutan terakhir setiap kali mengambil bahagian di Le Tour de Langkawi. “Tetapi kami mencipta kejutan menerusi Bolivar pada tahun lalu. Pada awal perlumbaan dia jatuh sakit tetapi berjaya mendaki ke puncak Genting Highlands dengan cukup baik. "Selepas menduduki tangga ketiga keseluruhan pada 2014, kami mensasarkan persembahan yang lebih baik tahun ini. "Ia pasti akan menjadi persaingan yang berbeza nanti kerana peringkat Genting dijadualkan berlangsung pada penghujung jelajah, tetapi kami juga datang dengan pasukan berwajah baru dengan kemungkinan memberi persembahan lebih baik menerusi kehadiran Brajkovic," jelas pengurus pasukan Hendrik Redant. Brajkovic, 31, adalah bekas juara Bawah 23 acara ujian masa individu pada 2004. Menjuarai Critérium du Dauphiné 2010 dan menduduki tangga kesembilan keseluruhan dalam Tour de France 2012 adalah antara kemuncak pencapaian dalam kariernya. Dia memulakan tugasan untuk UHC dengan positif apabila menduduki tangga ke-14 keseluruhan di Tour de San Luis di Argentina, Januari lalu. LTdL bakal membuka tirai perlumbaan pada 8 hingga 15 Mac 2015 membabitkan kayuhan lapan peringkat sejauh lebih 1,000km, di bawah status 2.HC (kategoti Hors) Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan sekali lagi menjadi acara terbesar dalam kalendar Jelajah Asia UCI. BARISAN PASUKAN UNITEDHEALTHCARE UNTUK LE TOUR DE LANGKAWI 2015: Janez BRAJKOVIC (Slo), Jonathan CLARKE (Aus), Isaac BOLIVAR (Col), Kiel REIJNEN (USA), Ken HANSON (USA) dan Carlos ALZATE (Col).