suria

Malaysia Tumpaskan Thailand Untuk Juarai Siri Super Istaf

Aksi pemain negara, Farhan Adam (tengah), Khairol Zaman (kanan) dan Syahir Rosdi (kiri) meraikan kemenangan pasukan negara ketika memenangi perlawanan dengan pasukan dari Thailand di Kejohanan Sepak Takraw Final Istaf Super Series di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka, Ahad. Foto BERNAMA

MELAKA: Malaysia berjaya menumpaskan musuh tradisinya Thailand 2-0 (21-7 dan 21-19) dalam pertarungan hampir sejam bagi merangkul kejuaraan kategori lelaki Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015 di sini, Ahad.

Permainan kedua-dua pasukan nampak seimbang pada awal permainan, namun Malaysia mula mendapat rentak apabila killer negara Hanafiah Dollah melakukan libasan demi libasan deras pada mata terikat 2-2, yang gagal dihadang kemas killer Thailand, Thawisak Thongsai.

Pertarungan dua killer dalam set pertama itu lebih memihak kepada Hanafiah yang mudah mengekang libasan Thawisak sehingga Malaysia jauh meninggalkan pasukan itu pada suatu ketika antaranya dengan 9-4 dan 15-6. 

Malaysia kemudian tidak lagi menoleh ke belakang dengan asakan kemas Hanafiah dibantu umpanan cantik ketua pasukan Farhan Adam sebagai feeder dan servis deras tekong Mohd Syahir Mohd Rosdi, seterusnya mudah menenangi set pertama dengan 21-7.

Pada set kedua, Thailand yang kelihatan tertekan memasukkan tekong handalan mereka Siriwat Sakha yang terkenal dengan servis kuda kaki kirinya, untuk menggantikan Kritsanapong Nontakote, namun masih belum dapat mengimbangi permainan apabila hanya berjaya mengekori satu atau dua mata berbeza dengan Malaysia.

Ketika Thailand mengekori Malaysia dengan 5-7, jurulatih Sompron Sunyabut menukar strategi pasukan gajah putih itu dengan memasukan killer Suriyon Koonpimon untuk menggantikan feeder dan kapten Panupong Petlue. 

Percaturan bermain dengan dua killer nampak berkesan untuk Thailand apabila berjaya mengimbangi perlawanan selain Suriyon dan Thawisak nampak serasi bagi mengasak Hanafiah yang keletihan. 

Jurulatih Malaysia Abd Talib Ahmad kemudian menggantikan Hanafiah dengan seorang lagi killer Khairol Zaman Hamir ketika mendahului 13-10 dan pertarungan antara dua seteru utama itu menjadi semakin sengit.

Kedua-dua pasukan saling mengejar mata dan ada kalanya terikat dengan 17-17 dan 19-19.

Sorakan padu lebih 3,000 penonton nyata memberikan bekalan semangat buat pemain Malaysia untuk terus berjuang dan libasan Suriyon yang terkeluar memberikan kemenangan mutlak buat pasukan negara dengan 21-19.

Kemenangan pertama Malaysia dalam siri kejohanan itu, yang bermula pada 2011, dapat menebus kekalahannya kepada Thailand pada perlawanan akhir kategori sama di Nay Pyi Taw, Myanmar tahun lepas yang menyaksikan saingan sengit 2-1 (20-22, 21-18 dan 21-23).

Korea Selatan pula memenagi tempat ketiga kategori lelaki dengan menewaskan Singapura 2-0 (21-16 dan 21-16).

Thailand berjaya mengubat duka kalah kepada Malaysia dalam kategori lelaki apabila menewaskan Vietnam 2-0 (21-8 dan 21-12) bagi menjuarai kategori wanita kejohanan itu.

Killer Thailand Somruedee Pruepruk nyata menjadi duri dalam daging Vietnam apabila berjaya menyempurnakan 24 daripada 25 libasan yang dilakukannya sepanjang permainan.

Myanmar pula menewaskan Korea Selatan dengan mata 2-0 (21-17 dan 21-15) bagi menduduki tempat ketiga kategori wanita.

Artikel Lain