PETALING JAYA: Kelab tersohor Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, dijangka akan kembali beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Harimau Malaya, Julai ini. Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kunjungan kelab tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan pengesahan tentang perlawanan itu akan diketahui selewat-lewatnya bulan depan. "Untuk peminat bola sepak negara, pasukan Liverpool bercadang untuk mengunjung ke Malaysia tetapi perkara ini belum dimeterai. Kami jangkakan perlawanan tersebut akan diadakan pada dua minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Julai ini," titah baginda. Tengku Abdullah bertitah demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketiga bagi penggal 2014-2018 di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Khamis. Kali terakhir pasukan Liverpool beraksi di Malaysia ialah pada tahun 2011 dengan menewaskan Harimau Malaya 6-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Ivory Coast akan diketahui selewat-lewatnya Selasa ini. "Jika perlawanan menentang Ivory Coast tidak dapat diadakan, pasukan negara akan menentang Syria. Pasukan Syria telah bersetuju untuk mengadakan perlawanan di sini sekiranya pasukan Ivory Coast tidak dapat datang," kata Hamidin. Beliau berkata perlawanan tersebut akan diadakan pada 28 Mac ini di Stadium Ipoh, Perak.