LOUIS VAN GAAL akan menghantar Radamel Falcao pulang ke Monaco pada hujung musim ini bagi membawa masuk bintang Paris Saint-Germain (PSG) Edinson Cavani yang dianggar bernilai £60 juta. Manchester United dilapor telah menaruh minat untuk mendapatkan penyerang berusia 27 tahun itu sejak setahun lalu ketika skuad berkenaan dipimpin David Moyes. Berikutan itu, Ketua Eksekutif United, Ed Woodward dikatakan telah diterbangkan ke Paris untuk berusaha mendapatkan pemain terbabit, namun tiada perbincangan serius dilakukan setakat ini. Bagaimanapun Starsport difahamkan, Van Gaal mahukan seorang lagi bintang dibawa ke Old Trafford dan jumlah pemindahan dijangka akan memecahkan rekod pembelian pemain Liga Perdana Inggeris. Sumber memberitahu, "Edinson Cavani menjadi sasaran United dalam usaha mendapatkan pemain bertaraf bintang, kelab itu sedang berusaha mendapatkannya. "Dia (Cavani) tidak selesa di Paris dan sedang mencari cabaran baru di kelab besar, oleh itu United sedang berusaha mendapatkan pemain itu." Difahamkan, pemilik United, Glazer yang mengadakan perbincangan dengan Van Gaal membenarkan bidaan dilakukan apabila jurulatih itu berjanji untuk membawa kelab gergasi berkenaan kembali ke kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris.