KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara tumpas 0-1 kepada skuad B-23 Indonesia pada aksi persahabatan di Stadium Gelora Delta Sidoarjo di Surabaya, Indonesia Selasa. Gol tunggal perlawanan dijaringkan Paulo Oktavianus Sitanggang pada minit ke-36 pada aksi yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Indonesia, RCTI. Perlawanan persahabatan tersebut adalah sebagai persiapan ketua jurulatih pasukan itu, Razip Ismail bagi menghadapi Liga Singapura 2015 awal bulan depan, selain pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2016 di Stadium Shah Alam dari 27 hingga 31 Mac ini. Pada kejohanan Piala AFC itu, Malaysia diundi dalam kumpulan I bersama-sama Jepun, Vietnam dan Macau. Skuad negara membuka kempen menentang Vietnam pada 27 Mac, Macau (29 Mac) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Jepun, dua hari kemudian. Sebanyak 43 pasukan dari benua Asia bersaing pada pusingan kelayakan itu bagi merebut 15 slot ke pusingan akhir kejohanan yang bakal diadakan di Qatar pada Januari 2016.