suria

Abramovich 'Jijik', Mourinho 'Malu' Dengan Isu Peminat Rasis Chelsea

Jose Mourinho.
CHELSEA berkata pemilik kelab itu, Roman Abramovich meluahkan rasa 'jijik' terhadap isu perkauman yang dibangkitkan oleh beberapa penyokong di stesen Metro Paris minggu ini.

Kelab itu mengambil langkah menjemput mangsa kejadian untuk menyaksikan pusingan kedua perlawanan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain.

Tindakan sekumpulan peminat Chelsea yang menolak seorang lelaki kulit hitam daripada menaiki pengangkutan Metro dan kemudian menyanyikan 'kami rasis, dan itulah cara yang kami suka' telah dirakam dengan menggunakan telefon bimbit.

Chelsea telah menggantung tiga peminat yang tidak dinamakan itu dan telah berikrar untuk mengharamkan mana-mana peminat yang terbukti terbabit dalam kejadian itu untuk seumur hidup.

Pada sidang akhbar mingguan, Jumaat,  Jose Mourinho berkata isu itu telah ditangani dengan cara sepatutnya dengan pengurus Chelsea itu turut menyatakan kritikan.

"Saya rasa malu apabila saya tahu apa yang berlaku tetapi, saya ulangi, saya berbangga menjadi pengurus Chelsea dan tahu tentang kelab ini," kata Mourinho.

"Kami berasa malu tetapi mungkin juga tidak perlu berasa seperti itu. Kami bukan seperti mereka yang terbabit. Chelsea melakukan segalanya (untuk menghentikan perkauman) sejak minit pertama."

Mourinho juga menyokong rancangan untuk menjemput mangsa, yang dikenali sebagai Souleymane S, untuk menayaksikan perlawanan kedua di Stamford Bridge.

"Dia tidak akan sekadar menonton permainan, sebaliknya akan merasai sendiri bagaimana sebenarnya Chelsea," kata Mourinho.

"Kerana pada masa ini mungkin dia mempunyai idea yang salah tentang bagaimana kelab bola sepak Chelsea.

"Saya tidak tahu jika dia peminat bola sepak, tetapi yang pasti dia akan suka apabila mendapat tahu bahawa seluruh rakyat tidak suka dengan tindakan seperti itu."

Jurucakap kelab telah menawarkan permohonan maaf secara rasmi untuk Souleymane.

"Saya ingin menjelaskan, bagi pihak semua orang di kelab ini, kami memandang jijik kejadian itu. Kami berasa sungguh terperanjat dengan apa yang telah dilihat," kata jurucakap kelab.

"Kelab ini juga ingin memohon maaf tanpa syarat kepada Souleymane untuk kelakuan sebilangan kecil individu dan tindakan mereka terhadapnya yang tidak boleh dimaafkan.

"Kami telah menulis kepadanya untuk memohon maaf dan menjemputnya untuk datang menonton perlawanan sebagai tetamu."

Seorang jurucakap berkata pemilik kelab, Abramovich, yang tidak pernah bercakap secara terbuka, berminat untuk mengeaskan bahawa beliau juga 'jijik' dengan rakaman kejadian selepas keputusan perlawanan seri 1-1 di ibu negara Perancis itu.

Artikel Berikut

Keputusan Serie A

Artikel Lain