PENGURUS Liverpool, Brendan Rodgers telah memberikan sokongan penuh kepada penyerang Mario Balotelli terhadap kekecohan yang timbul selepas pemain itu mengambil sepakan penalti sebelum menang 1-0 ke atas Besiktas dalam saingan Liga Europa. Rodgers menegaskan tindakan pemain antarabangsa dari Itali itu adalah wajar walaupun dilihat keji oleh sesetengah pihak kerana dia telah mengenepikan kapten pada malam itu Jordan Henderson, yang ditetapkan untuk mengambil sepakan penalti sebelum perlawnaan bermula. Kapten pasukan yang cedera, Steven Gerrard yang menjadi tetamu dalam sebuah program televisyen mengelarkan Balotelli 'jahat' dan 'kurang ajar', tetapi Rodgers berkata, lelaki berusia 24 tahun itu yang menjaringkan 27 daripada 29 sepakan penalti sepanjang kerjayanya telah mengikut arahan yang telah dipersetujui pada awal musim ini. "Mungkin lebih banyak 'drama' yang dibuat di luar sana berbanding apa yang sebenarnya berlaku," katanya. "Dengan barisan pemain yang berada di atas padang malam tadi, Jordan telah dicalonkan untuk mengambilnya. "Tetapi jika Jordan, Steven dan Mario berada di atas padang pada masa yang sama, biasanya kita akan menetapkan Steven dan Mario sebagai pengambil penalti. "Sejarah menunjukkan dia (Balotelli) telah menjaringkan hampir 30 penalti dalam perlawanan besar jadi dia seorang pengambil penalti yang cemerlang, tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang bersedia (pada permulaan) jadi anda perlu menamakan seseorang. "Jordan cukup gembira untuk mengambilnya tetapi dia memberikannya kepada Mario." Henderson, Balotelli dan Daniel Sturridge terlibat dalam perbincangan sebelum melakukan sepakan penalti pada minit ke-85, dan selepas perlawanan, komen Gerrard menimbulkan kontroversi dengan Rodgers mengakui bahawa ia adalah sesuatu yang akan diuruskannya dengan pasukan itu. "Itu sudah menjadi tugas saya untuk menguruskannya, ia adalah apa yang saya lakukan di belakang tabir setiap hari," katanya. "Anda melihatnya dari cara pasukan ini bermain baru-baru ini dan komitmen yang ditunjukkan antara satu sama lain. "Satu-satunya perkara yang saya akan katakan tentang isu ini adalah saya tidak sukakan Etika - anda tidak suka melihat empat atau lima pemain dalam perlawanan bola sepak yang ingin mengambilnya (penalti)," katanya. Peranan Henderson dalam berdepan situasi tersebut telah dikritik oleh beberapa orang yang mendakwa ia menggambarkan dirinya sebagai lemah, membolehkan Balotelli untuk campur tangan.