ANDY Murray menewaskan Gilles Muller 6-4 7-5 pada pusingan pertama kejohanan tenis ATP Dubai, awal pagi Rabu. Murray mengambil masa selama sejam dan 45 minit untuk menyingkirkan Muller. Pemain Britain itu akan menentang Joao Sousa pada pusingan kedua. "Saya rasakan pukulan servis saya pada dua set terakhir tidak begitu baik. Tapi saya tidak memberi sebarang peluang kepada Muller. Saya rasakan tidak begitu bernasib baik pada akhir set kedua," katanya. Sementara itu,Novak Djokovic turut mengikut jejak langkah Murray selepas menundukkan Vasek Pospisil 6-4 6-4 dalam tempoh 78 minit. "Saya masih mencari rentak di gelanggang. Namun saya berjaya menangani segala tekanan. Saya sentiasa bersabar dalam melakukan pukulan rali. "Sebaik sahaja saya melepasinya, saya ada peluang cerah untuk menang. Pospisil bermain begitu pantas dan agresif," katanya.