PARIS: Penyerang Luis Suarez menyumbatkan dua gol ketika membuat penampilan semula di England buat pertama kalinya sejak berhijrah ke Sepanyol untuk membantu Barcelona menewaskan Manchester City 2-1 pada aksi kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Rabu. Pemain kelahiran Uruguay itu menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan minit ke-30 bagi memberikan kelebihan buat Barcelona menjelang pertemuan kedua di Nou Camp, bulan depan. Sergio Aguero menjaringkan gol tunggal untuk City pada minit ke-69. Pasukan tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Gael Clichy diperintah meninggalkan padang. Penjaga gawang City, Joe Hart menyelamatkan maruah City pada minit terakhir apabila menafikan sepakan penalti Lionel Messi. City perlu melakar keajaiban pada aksi kedua di Nou Camp bulan depan sekiranya mahu menyekat Barcelona daripada mara ke peringkat lapan pasukan terakhir. Suarez kini mengumpul sembilan gol untuk Barcelona dalam 23 penampilannya. Dia mengakui kecekapan Hart menyelamatkan penalti menjadikan saingan masih getir. "Saya fikir ini adalah sesuatu yang positif buat mereka. Jika penalti itu membolosi gawang, maka senario berbeza akan berlaku. Tapi keputusan 2-1, mereka masih ada peluang," kata Suarez. Sehubungan itu, pengurus City, Manuel Pellegrini mengakui bahawa anak buahnya bangkit mempamerkan persembahan terbaik pada separuh masa kedua. "Kami lepaskan gol awal dan beraksi hambar. Pada babak kedua, kami bangkit dan berjaya membolosi gawang lawan. "Kami ada peluang. Kami mesti cuba untuk melakukannya pada perlawanan kedua nanti," kata Pellegrini. Sementara itu, dalam perlawanan berasingan, Juventus menundukkan Borussia Dortmund 2-1 di Turin. Teves menjaringkan gol awal untuk Juventus pada minit ke-18. Pertemuan itu adalah yang pertama bagi kedua-dua kelab sejak Borussia menundukkan Juventus pada final Liga Juara-Juara Eropah pada 1997. Juventus membuka jaringan awal menerusi percubaan Carlos Teves pada minit ke-18 sebelum Marco Reus menjaringkan gol penyamaan untuk Borussia pada minit ke-18. Pasukan tuan rumah menarik nafas lega apabila sentuhan Alvaro Morata pada minit ke-42 memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.