NANI mengakui punca sebenar dia meninggalkan Manchester United adalah untuk mencari 'kebahagiaan' dan tetap membuka peluang kemungkinan akan kembali ke Old Trafford. Pemain sayap ini dilepaskan secara pinjaman ke kelab lamanya, Sporting Lisbon sebelum United membawa masuk Marcos Rojo ke Old Trafford. Nani mengakui dia masih sayangkan kelab ini dan sentiasa berhubung dengan naib presiden eksekutif kelab, Ed Woodward. Bintang Portugal ini juga mendedahkan Woodward turut memujinya apabila menunjukkan prestasi baik dan memberitahu peluang untuk kembali United terbuka sebaik sahaja aksi pinjaman di Sporting tamat. "Saya sayangkan Manchester United. Keputusan yang buat musim lalu untuk berhijrah adalah kerana mahu bermain lebih banyak perlawanan dan ingin menjadi diri saya. "Saya kehilangan banyak perkara musim lalu kerana masalah kecederaan dan pertukaran pengurus. "Kamu tidak tahu apa akan terjadi pada masa depan. Ia bergantung kepada banyak perkara. "Beberapa perkara perlu dibincang dan lihat jika United mahu saya kekal di sana," jelasnya. Nani mempamerkan aksi terbaik sejak berpindah ke Portugal dengan menjaringkan lapan gol dalam 25 penampilan. Dia turut menangis sebaik sahaja menjaringkan gol dari jarak jauh ketika aksi kemenangan 2-0 menentang Gil Vicente. "Ia satu perasaan yang terlalu peribadi," jelas pemain berusia 28 tahun yang menyertai United dari Sporting Lisbon pada tahun 2007. Dalam masa sama Nani mendedahkan dia turut menerima ucapan tahniah daripada Woodward selepas menjaringkan gol tersebut.