suria

Kemelut PKBM, Beasley Selesai - KP MSN

Abu Samah (kiri) dan Beasley.

KUALA LUMPUR: Kemelut yang timbul antara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley akhirnya mencapai penyelesaian, selepas enam jam perbincangan berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata segala kemelut yang timbul khususnya ketika penyertaan skuad trek negara ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Thailand baru-baru ini serta isu hutang berjumlah RM21,000 adalah disebabkan masalah komunikasi. 

"Setelah kita berbincang, sebenarnya barulah masing-masing tahu akan kedudukan masing-masing. Duit, hutang dan sebagainya itu adalah masalah komunikasi semata-mata. 

"Sepatutnya perkara itu tidak perlu digembar-gemburkan. Kalau komunikasi dapat dipertingkatkan tidak ada lagi salah sangka dan salah faham antara satu sama lain pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa kerja MSN. 

Turut hadir, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab dan timbalannya Datuk Naim Mohamad serta Beasley. 

Sebelum ini, Beasley melahirkan rasa kesal terhadap PKBM, bermula denganinsiden kekecohan di lapangan terbang Melbourne di mana skuad berbasikal negara hampir terlepas penerbangan untuk menyertai ACC. 

Ketegangan antara kedua-dua belah pihak berlarutan dengan timbulnya isu PKBM berhutang RM21,000 kepada Beasley. 

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata PKBM bersetuju untuk melantik ketua pasukan prestasi sukan dari Institut Sukan Negara (ISN) Mohd Izham Mohamad sebagai pengurus pasukan bagi mewakili persatuan itu dalam setiap kejohanan yang melibatkan skuad berbasikal negara terutama atlet di bawah program Rio 2016. 

"Kami bersetuju Mohd Izham untuk bantu Beasley dan pelumba-pelumba di Melbourne dan di Malaysia bukan sahaja dari aspek sains sukan tetapi juga membantu pengurusan pasukan secara lebih menyeluruh. 

"Ini secara langsung dapat membantu Beasley menguruskan atlet trek negara dan secara tidak langsung menepati hasrat PKBM sendiri," katanya. 

Sementara itu, Beasley berkata beliau berpuas hati dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat selama enam jam itu hari ini. 

"Saya cukup gembira untuk mengesahkan bahawa segalanya berjalan lancar, dengan isu wang disebabkan salah faham. Saya mengharapkan hubungan yang lebih baik pada masa hadapan. 

"Kami mempunyai masa yang panjang untuk menyelesaikan banyak isu hari ini dan berharap dalam tempoh tiga hari akan datang, kita mempunyai beberapa perancangan dengan persekutuan bagi memastikan pelan tindakan sukan berbasikal negara berada di landasan," katanya. 

Beasley juga menyatakan bahawa PKBM bersetuju untuk menyelesaikan hutang  berjumlah RM21,000 kepadanya. 

"Kami sudah menyelesaikannya sekarang dan ia adalah baik. Saya sungguh berpuas hati dan gembira kerana semua isu telah diselesaikan," katanya. 

Mengenai pelantikan Mohd Izham bagi membantunya, Beasley berkata ia adalah keputusan yang baik kerana Mohd Izham telah membantu skuad trek berbasikal negara, sebelum ini.

PKBM, Beasley, MSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan