KEMUNCULAN Angel Di Maria pada musim pertamanya bersama Manchester United sememangnya belum cukup memberangsangkan sebagaimana yang dipamerkannya sewaktu bermain di Real Madrid. Bagaimanapun, pengurus pasukan Louis Van Gaal meminta penyokong Manchester United supaya bersabar untuk melihat perkembangan prestasi pemain kelahiran Argentina itu. Van Gaal berpendapat bahawa musim pertama Di Maria yang tidak pernah bermain dalam Liga Perdana Inggeris sebelum ini sudah tentu bukannya mudah mesikpun pemain berusia 26 tahun itu bergelar bintang dan merupakan antara pemain termahal. Van Gaal mengatakan bahawa Di Maria bukan satu-satunya pemain yang menghadapi kesukaran di Manchester United. Beliau percaya banyak pemain baharunya turut mengalami kesukaran seperti yang dilalui pemain terbaik liga Kejuaraan musim 2013/14 itu. "Musim pertama tentunya sukar. Anda akan katakan perkara itu kepada pemain baharu yang kami tampilkan seperti (Luke) Shaw, (Daley) Blind, (Ander) Herrera, (Radamel) Falcao, dan juga Di Maria," kata Van Gaal yang dipetik sebagai berkata dalam Transfermarkt. "Bagi saya, hal itu bukan satu kejutan. Ia akan menjadi sangat mengejutkan sekiranya saya mampu mengadaptasinya dengan cepat. Di Belanda, Spanyol, dan Jerman, saya memiliki pengalaman yang sama dengan para pemain. Kita harus memberikan mereka waktu, bukan hanya kepadanya sahaja, tetapi juga kepada semua pemain."