suria

Badminton: Boon Heong Tinggalkan BAM

Boon Heong (kanan) ketika digandingkan bersama Hoon Tien How pada aksi Piala Thomas di New Delhi tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Pemain beregu badminton negara, Tan Boon Heong mengambil keputusan keluar daripada skuad kebangsaan selepas sebelas tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Boon Heong, 27, yang juga pasangan beregu kepada Koo Kien Keat sejak 1996-2013 menyerahkan surat perletakkan jawatan kepada BAM pada Rabu.

Bagaimana pun Boon Heong enggan mengulas mengenai keputusannya itu.

Boon Heong merupakan pemain beregu ketiga yang membuat tindakan keluar daripada BAM selepas Hoon Thien How dan Lim Khim Wah.

Thien How dan Khim Wah mengakui sudah mencapai tahap terbaik karier mereka sepanjang 10 tahun berkhidmat untuk negara sebelum membuat keputusan meninggalkan BAM.

Dalam pada itu, keputusan Boon Heong itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan berdasar prestasinya yang tidak konsisten, malah turut tidak hadir dalam beberapa siri latihan beberapa hari lalu.|

Boon Heong juga tidak kelihatan ketika majlis penajaan baharu jenama Victor kepada BAM pada Isnin lalu di Stadium Juara Bukit Kiara.

Difahamkan, Boon Heong mungkin akan kembali berganding dengan Kien Keat, yang menjadi pemain profesional pada tahun lepas.

Malah pemain ini tidak begitu menonjol sejak ditinggalkan Kien Keat dan ketika berganding bersama Thien How dan Ow Yao Han, Boon Heong dengan hanya mencatat keputusan sederhana sahaja.

Berbanding prestasinya ketika bersama Kien Keat, mereka berjaya mencipta kejutan untuk Malaysia pada tahun pertama digandingkan.

Sebagai rekod, pasangan beregu ini menjaya meraih pingat emas Sukan Asia di Doha (2006) dan gelaran juara All England (2007), malah mencatat rekod tanpa kalah dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2007.

Pasangan ini pernah beraksi enam kali dalam edisi Kejuaraan Dunia iaitu di Kuala Lumpur (2007), Hyderabad (2009), Paris (2010), Wembley (2011) dan Guangzhou (2013).

Saat terbaik mereka adalah layak ke aksi final kejohanan dunia itu, namun tewas kepada pasangan dari China, Cai Yun-Fu Haifeng.

Tahun lalu, Boon Heong kembali digandingkan dengan Kien Keat di Copenhagen, namun tewas pada pusingan ketiga kepada pasangan Taiwan, Lee Sheng-Mo dan Tsai Chai-Hsin.

BAM tidak akan menghalang mana-mana pemain utama untuk berhenti sekiranya mereka pernah beraksi untuk negara dalam kejohanan-kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Piala Thomas.

BAM, Tan Boon Heong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain