NEWCASTLE: Selepas 17 bulan bertarung dengan kanser testis, pemain tengah Newcastle, Jonas Gutierrez kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan kelabnya tewas kepada Manchester United 0-1 pada Rabu. Gutierrez, 31, yang merupakan pemain sayap Argentina berkata, perasaan terharu mula menyelubungi dirinya apabila penyokong Newcastle memberi sokongan hebat ketika dia dimasukkan untuk mengambil alih tugas Ryan Taylor pada minit ke-65. Gutierrez dinamakan sebagai pemain simpanan selepas pasukannya menang 0-1 menentang Aston Villa Sabtu lalu dan ini merupakan penampilan pertamanya sejak Oktober 2013. "Saya sangat bersyukur dan tidak mungkin akan lupakan segala sokongan dan sambutan yang diberi oleh penyokong sepanjang saya sakit," katanya. Gutierrez memberitahu, pemain-pemain dari kelab lain turut memberikan sokongan padu dan pada masa yang sama banyak membantu menaikkan semangat sepanjang bertarung nyawa dengan penyakit tersebut. "Sekiranya kita sentiasa bersifat positif dan percaya pada diri sendiri, penyakit ini dapat dipulihkan,"nasihatnya kepada golongan yang mempunyai penyakit kanser testis. Gutierrez kembali menjalani sesi latihan selepas beliau disahkan bebas daripada penyakit tersebut pada November tahun lepas.