suria

Guardini Sasar Pencapaian Cemerlang Pada LTdL 2015

Ketua Pegawai Eksekutif Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, Datuk Malik Maidin (tengah) bergambar bersama sebahagian pelumba yang menyertai LTdL 2105 (dari kiri) Pelumba MTN-Qhubeka, Merhawi Kudus, Pelumba Pasukan SKY, Sebastian Henao dan Pelumba SOUTHEAST, Alessandro Petacchi, (dari kanan) Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan, Pelumba Orica Greenedge, Caleb Ewan dan Pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini pada sidang media LTdL 2015 di Langkawi, Sabtu.

LANGKAWI: Pelumba pasukan berstatus Pro Tour Astana, Andrea Guardini tekad mencatat keputusan yang lebih baik pada edisi ke-20 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 yang akan membuka tirai di sini, Ahad.

Bagaimanapun, pemenang 14 kali perlumbaan peringkat pada kejohanan lumba basikal berprestij berkenaan, mengakui ia bukan satu tugas mudah untuk mengulangi pencapaian cemerlangnya itu terutama sebagai pendahulu Jersi Biru (Raja Pecut) yang dimenanginya berturut-turut pada 2011 dan 2012.

"Terdapat begitu ramai pelumba muda beraksi pada perlumbaan tahun ini, maka sudah tentu ia menjadi tugas sukar bagi saya, namun saya tekad akan menampilkan aksi terbaik dan mengulangi kejayaan sebelum ini," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Pelumba Itali berusia 25 tahun yang menyertai pasukan berpangkalan di Kazakhstan itu, daripada kelab Farnese Vini-Neri Sottoli (kini dikenali pasukan Southeast Pro Cycling) pada 2013, juga melahirkan keyakinan gabungan pelumba muda dan berpengalaman dalam pasukan itu akan menjadi tonik kepada kejayaan mereka pada perlumbaan kali ini.

Berkongsi pandangan sama dengan Guardini adalah pelumba Australia, Caleb Ewan daripada pasukan Orica GreenEdge yang optimis meraih kemenangan pada mana-mana peringkat perlumbaan dalam penyertaan sulungnya pada LTdL 2015.

Ewan juga yakin bahawa cuaca panas pada masa ini, bukan halangan besar baginya untuk meraih kedudukan selesa dalam klasifikasi umum (kedudukan keseluruhan) kerana beliau pernah berlumba dalam keadaan tersebut sebelum ini.

"Bagi saya, cuaca panas terik perkara biasa kerana saya pernah berlumba dalam keadaan cuaca itu sebelum ini di negara saya. Segala persiapan pasukan kami berjalan lancar dan saya berharap ia menjadi motivasi kepada kami untuk melakukan yang terbaik," kata pelumba pecut itu.

Sementara itu, bekas Raja Bukit pada LTdL 1996, Alessandro Petacchi, berharap dapat mempamerkan prestasi terpuji pada perlumbaan itu kali ini, selepas kali terakhir beraksi pada kejohanan tersebut 15 tahun lepas.

"Perlumbaan kali ini sudah tentu sama sekali berbeza bagi saya kerana kali terakhir saya beraksi pada LTdL ialah pada 1999," kata pelumba berusia 41 tahun itu yang beraksi bersama pasukan Southeast Pro Cycling.

Peringkat pertama perlumbaan LTdL 2015 sejauh 99.2km, bermula dan tamat di Pantai Cenang, melibatkan tiga zon pecutan di Teluk Ewa, Air Hangat dan Kuah serta tiga zon pendakian di Bukit Beringin, Lebuhraya Langkawi dan Pantai Kok. -- Bernama


Artikel Lain