NEW DELHI: Skuad hoki wanita Malaysia menampilkan aksi bertenaga apabila membelasah Kazakhstan 8-0 pada perlawanan pertama Pusingan Kedua Liga Dunia FIH di Stadium Nasional Major Dhyan Chand di sini, Sabtu. Pasukan negara yang mempamerkan corak permainan pantas ternyata bukan tandingan kepada barisan pemain Kazakhstan apabila mendahului lawan mereka 4-0 pada separuh masa pertama. Pada perlawanan tersebut, dua gol Malaysia dijaringkan oleh Hanis Nadia Onn, manakala masing-masing satu menerusi Siti Noramarina Rohani, Siti Rahmah Othman, Fatin Shafikah Mohd Shukri, Fazilla Silvaster Silin, Nor Baini Hashim dan Surizan Awang Man. Pada kejohanan berkenaan, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Rusia, Kazakhstan dan Singapura, manakala tuan rumah India, Poland, Ghana dan Thailand dalam Kumpulan A. Skuad negara akan menentang Rusia esok, dan menamatkan aksi kumpulan berdepan Singapura pada 10 Mac ini. Jurulatih skuad negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, kejayaan mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan pasukan Kazakhstan itu adalah permulaan yang baik kepada anak buahnya pada kejohanan tersebut. Meskipun berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan barisan pemainnya itu, Mohd Nasihin mahu jentera serangan Malaysia lebih berkesan apabila berdepan Rusia esok. "Pemain kita memang sudah bersedia dari segi mental bagi menghadapi Rusia dan saya harap perlawanan tersebut akan berpihak kepada kita esok," katanya. Untuk rekod, pada pertemuan terakhir sebelum ini antara Malaysia dan Rusia, skuad negara menang 3-1. Pasukan hoki wanita Malaysia yang kini berada pada ranking ke-21 dunia, diletakkan sebagai pasukan pilihan kedua pada kejohanan yang disertai lapan pasukan itu.