KUANTAN: Tahap permainan yang ditunjukkan Pahang tetap mencapai tahap prestasi yang sepatutnya walaupun tanpa kelibat beberapa pemain utama ketika menentang Sime Darby FC di Stadium Darul Makmur malam Sabtu. Pengendali skuad Tok Gajah itu Zainal Abidin Hassan berkata, ketiadaan beberapa pemain utama seperti Dickson Nwakaeme dan Azamudin Akil ditambah kelibat Matias Ruben Conti hanya sempat bermain 38 minit tidak menjadi penghalang bagi mereka menunjukkan permainan yang sewajarnya. "Ini yang saya inginkan supaya pemain dapat bersama memikul tanggungjawab masing-masing sebagai sebuah pasukan walaupun tanpa pemain utama. "Disiplin permainan yang ditujukkan mereka juga memberi kelebihan walaupun pemain nampak terumbang ambing sedikit akibat kepenatan," katanya kepada pemberita di sini. Pahang meraih tiga mata penuh selepas mencipta kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot liga, Sime Darby FC menerusi jaringan Zesh Rehman pada minit ke-45 dan R. Gopinanth (minit ke-55). Menerusi kemenangan pertama itu, Pahang mengumpul lima mata keseluruhan selepas empat perlawanan.