KUALA LUMPUR: Sabah melonjak ke persada Liga Perdana selepas kemenangan 2-0 ke atas pasukan Kuantan FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Jumaat malam. Penyerang import dari Libya, Eamon Zaayed menjadi wira pasukan Sabah apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-30 dan 59. Sabah, yang menghuni tangga keempat sebelum perlawanan itu, kini menduduki tangga teratas liga dengan 12 mata, kelebihan satu mata dengan pencabar terdekat Pulau Pinang. Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan kelab T-Team berjaya meleburkan rekod tanpa kalah pasukan Negeri Sembilan dengan kemenangan 5-3. T-Team mendahului 3-1 pada separuh masa. Gol T-team dihasilkan oleh Mohd Nor Hakim pada minit keenam dan 60, Sadriddin Abdullaev (23' dan 74') dan Farhod Tadjiev pada minit ke-46. Negeri Sembilan pula menjaringkan gol menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-26 dan 50 dan Shahrizal Saad pada minit ke-64. Negeri Sembilan, yang menungguli persada liga sebelum ini, kini jatuh ke tangga keempat dengan 10 mata. Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pasukan tuan rumah kekal di tangga kedua liga dengan 11 mata selepas seri 3-3 dengan Kedah. Pulau Pinang meraih jaringan menerusi Faiz Subri pada minit ke-38 dan dua gol oleh Hilton Mauro Moreira pada minit 46' dan 91'. Kedah pula menghasilkan jaringan menerusi Bang Seung Hwan pada minit keempat dan 89' manakala Baddrol Bakhtiar menghasilkan gol pada minit ke-14. Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula mengekalkan kedudukan tangga ketiga liga selepas hanya mampu seri 2-2 dengan Selangor PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. JDT II menghasilkan jaringan menerusi pemaiN import Nicholas Delmonte pada minit ke-20 dan Shahril Ishak pada minit ke-73 sebelum PKNS bangkit untuk mengutip satu mata menerusi jaringan Gabriel Guerra pada minit ke-82 dan Farderin Kadir, enam minit kemudian. Pada perlawanan sebelah petang, DRB-Hicom mencatat kemenangan bergaya dengan menewaskan SPA Putrajaya FC 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya. Pemain import DRB-Hicom, Ivan Babic bertindak cemerlang dengan dua jaringan pada mint ke-61 dan 71', Mohd Fakhrullah Rosli pada minit ke-42 dan Hasrul Abu Bakar pada minit ke-83. Di Stadium Universiti Shah Alam (Uitm), pasukan tuan rumah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur menerusi jaringan Syed Ariff Syed Muhd Uzir pada minit ke-39.