MANCHESTER: Wayne Rooney berjaya memastikan Manchester United terus kekal di kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris apabila skuadnya menang selesa 3-0 ke atas Tottenham Hotspur pada Ahad. Selepas terkeluar daripada saingan Piala FA ketka tewas kepada Arsenal pada Isnin lepas, Louis van Gaal dan Rooney sebagai ketua pasukan perlu berjuang merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah dengan menduduki kelompok empat teratas liga. Dalam perlawanan itu, jaringan pertama United hadir hasil sumbangan Marouane Fellaini yang menerima umpanan Michael Carrick. Tidak lama kemudian, Carrick yang hanya menjaringkan dua gol sejak tahun lalu bijak menanduk masuk bola ketika suasana kelab kabut di hadapan gawang Tottenham. Sebelum babak pertama berakhir, Rooney berjaya melaksanakan tugasnya sebagai penyerang apabila bijak mengambil kesempatan terhadap kerapuhan barisan pertahanan lawan untuk menjadikan kedudukan 3-0. Selain kejayaan mencipta gol, Rooney turut menjadi tumpuan apabila meraikan jaringan itu seolah-olah menerima tumbukan KO. Pemain England itu bertindak demikian sebagai rekasi kepada latihan tinju bersama bekas rakan di United, Phil Bardsley baru-baru ini. Dengan kemenangan selesa itu, United kini menduduki tangga keempat liga dibelakang Arsenal dengan ketinggalan satu mata.