SUBANG JAYA:Pasukan terkenal Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC bakal kembali ke Malaysia buat kali kedua pada 24 Julai ini sempena jelajah pra-musim menentang pasukan pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kedatangan skuad kendalian Brendan Rodgers ini pastinya menjadi salah satu aksi penting buat skuad negara dalam mengisi pengalaman beraksi dengan pemain-pemain terkemuka dunia. Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, skuad Harimau Malaya sedang menjalani persiapan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia tahun ini. “Kami memang fokus untuk layak secara merit ke Piala Asia 2019. Jadi perlawanan persahabatan ini adalah salah satu persiapan ke arah itu. “Walaupun perlawanan ini bukan berada dalam ranking A, tetapi kita akan turunkan semua pemain kebangsaan yang akan dipilih oleh jurulatih Dollah Salleh. “Mengikut tarikh Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA), bermula Jun hingga November adalah tarikh kelayakan dua kejohanan penting itu. Jadi kita megambil kesempatan untuk beraksi dengan Liverpool sebaik sahaja saingan Liga Super berakhir,” jelasnya kepada media sebaik selepas majlis pengumuman rasmi mengenai kehadiran kelab Liverpool pada Rabu. Dalam pada itu, Hamidin turut mengesahkan sudah bermesyuarat dengan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi aksi perlawanan tersebut pada ini. “Kami sudah dengan Pengerusi PSM, Datuk Rozabil Abdul Rahman sebelum ini dan dijangka proses pemulihan stadium akan siap sepenuhnya pada Mei ini. “Pihak FAM dan Liverpool juga turut membuat tinjauan terhadap Stadium Nasional dan Stadium Shah Alam. “Jika Stadium Bukit Jalil tidak sempat pulih sepenuhnya, maka Stadium Shah Alam akan dipilih sebagai venue perlawanan alternatif,” tambahnya. Selain itu, kunjungan Liverpool FC kembali ke Malaysia tahun ini selepas mencatat kemenangan 6-3 ke atas pasukan pilihan Malaysia pada edisi jelajah pra-musim 2011. Ketua Pegawai Eksekutif Liverpool FC, Ian Ayre berkata, kunjungan ke Kuala Lumpur sebelum ini telah mendapat sambutan menakjubkan dengan kehadiran peminat seramai 85,000 orang. “Pra-musim tempoh penting buat pasukan dalam rangka persiapan bagi musim akan datang dan perlawanan menentang pasukan Pilihan Malaysia menjanjikan sesuatu yang menarik . “Jelajah ini memberikan semua peminat berada lebih dekat pemain kedua-dua pasukan,” katanya. Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvent selaku penganjur aksi ini menganggap kedatangan Liverpool ini seolah-olah sebagai kepulangan salah satu kelab terhebat dunia di Kuala Lumpur.