KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata Hari Sukan Negara akan menjadi pencetus untuk rakyat mengamalkan cara hidup sihat dengan menjadikan aktiviti bersukan sebagai gaya hidup mereka. Beliau berkata gaya hidup itu perlu dijadikan kemestian buat rakyat bagi menjamin kesihatan, sekali gus memberi kesan terhadap peningkatan produktiviti. Sehubungan itu, Najib mengisytiharkan setiap Sabtu minggu kedua pada Oktober setiap tahun sebagai Hari Sukan Negara. "Pada tahun ini, saya mengisytiharkan Hari Sukan Negara 2015 disambut pada Sabtu, 10 Okt," katanya semasa melancarkan Hari Sukan Negara 2015 di sini, Selasa. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan timbalannya Datuk M.Saravanan. Najib berkata hari sukan itu bukan sahaja dapat menggalakkan rakyat menjalani gaya hidup sihat malah ia juga menjadi penggalak kepada perpaduan pelbagai kaum di negara ini. "Dalam konteks pembinaan negara bangsa, sukan merupakan satu wahana merapatkan hubungan kaum di negara ini," katanya sambil menyeru agar semua rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan etnik untuk menyertai hari bersukan tersebut. Beliau berkata hari sukan itu juga akan menjadi asas untuk negara melahirkan lebih ramai ahli sukan yang berbakat dan bertaraf dunia. Hakikatnya, katanya, Malaysia mempunyai populasi yang tinggi namun masih belum mampu melahirkan para atlet yang lebih ramai bertaraf dunia sehingga negara boleh dikenali sebagai 'sporting nation' (negara sukan). Beliau berkata jika dibandingkan dengan Australia yang mempunyai jumlah populasi hampir sama dengan Malaysia, negara itu mempunyai ramai ahli sukan berbakat dan dipanggil sebagai 'sporting nation'. "Ia bukan bererti negara tidak berjaya kerana pernah melahirkan atlet bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan ramai lagi atlet terutama di era 60-an. "Tetapi hakikat, realitinya "talent base" (bakat asas) kita terhad. Kita tidak mempunyai asas yang menyeluruh sehingga tokoh sukan bersara kita tidak dapat lihat ada pelapis yang dapat setanding dengan jaguh sendiri," katanya. Najib berkata selain itu, gaya hidup sihat dengan bersukan juga dapat mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat negara ini, yang menjadi penyebab kepada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Justeru, katanya tidak ada alasan untuk rakyat negara ini enggan beriadah dan bersukan kerana ia seharusnya menjadi amalan untuk gaya hidup lebih sihat. Malah, Najib berjanji akan turut mengambil bahagian untuk bersukan apabila tiba Hari Sukan Negara nanti. "Saya tidak tunggu hari sukan negara sebab saya sendiri pengamal dan peminat sukan. Saya mempunyai jurulatih peribadi untuk saya bersukan. Saya tahu kalau badan sihat, minda cergas dan produktiviti akan lebih untuk negara kita," katanya.