suria

Badminton: V Shem-Wee Kiong Tewas, Dua Pasang Beregu Wanita Mara

V Shem (kiri) dan Wee Kiong tewas kepada pasangan dari China pada aksi pusingan pertama, Rabu. Foto: FAIHAN GHANI/THE STAR
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong gagal melepasi pusingan pertama Kejohanan Bdminton Terbuka Malaysia apabila tewas kepada pasangan China, Chai Biao-Hong Wei.

Bagaimana pun pasangan negara tidak memberi kemenangan mudah kepada beregu pilihan keenam kejohanan ini dengan mengheret permainan hingga ke rubber-set  dengan keputusan 21-8 15-21 21-14 dalam tempoh satu jam ketika aksi di Stadium Putra Bukit Jalil pada Rabu.

"Sebenarnya permainan kami bukan begitu teruk kerana gagal mengawal perlawanan. Keserasian lebih baik berbanding semasa Terbuka Sweden bulan lepas,"kata Wee Kiong pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, pasangannya, V Shem berkata tuah tidak menyebelahi mereka untuk terus beraksi dalam pusingan kedua. 

"Pada set ketiga itu, beregu China mengubah strategi dengan melancarkan rentak pantas sehingga kami gagal mengejar pungutan mata," katanya.

Secara keseluruhannya, hanya acara beregu wanita sahaja yang akan meneruskan aksi  saingan kedua pada Khamis melibatkan Vivian Kah Mun Hoo dan Woon Khe Wei serta gandingan Amelia Alicia Anscelly bersama Soong Fie Cho.

Amelia/ Fie Cho  akan berdepan dengan pasangan dari Jerman, Isabel Herttrich/ Birgit Michels.

Pada aksi kelayakan sebelum ini, pasangan beregu di ranking ke-58 dunia ini menewaskan pasangan negara, Chin Kah Mun/Chow Kei Kuan dan beregu Thailand Jongkonphan-Rawinda Prajongja pada siri kelayakan kedua.

Manakala Vivian/Khe Wei bakal berdepan dengan pasangan Indonesia, Anggia Shitta Awanda/Mahadewi Istirani Ni Ketut. 

Malaysia menghantar tiga pasangan beregu wanita yang menjadi harapan bekas jurulatih mereka, Rosman Razak untuk melihat salah satu daripada pasangan itu mara ke suku akhir.



Terbuka Malaysia, Badminton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain