KUALA LUMPUR: Juara dunia lima kali, Lin Dan hanya memerlukan masa dua minit untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2015 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Rabu. Bintang China itu membuka kempen memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia dengan memperoleh kemenangan mudah selepas lawannya Tommy Sugiarto dari Indonesia terpaksa menarik diri ekoran kesakitan kecederaan belakangnya kembali. Tommy, yang mengalami kecederaan itu pada Terbuka India, minggu lepas, ketika itu ketinggalan 2-0 pada set pertama. "Banyak peminat mahu melihat saya bermain dengan Lee Chong Wei tetapi malangnya dia kini digantung. Namun saya berharap mendapat sokongan peminat Malaysia dan akan bermain dengan sebaik mungkin di sini," kata Lin Dan. Pemain berusia 31 tahun itu kali terakhir beraksi pada Terbuka Malaysia pada edisi 2012 tetapi kalah kepada pemain Denmark, Jan O Jorgensen, pada pusingan kedua. Pada pusingan kedua esok, Lin Dan akan berdepan H.S.Prannoy, selepas pemain India berusia 22 tahun itu mengalahkan pemain Ireland, Scott Evans 22-20 dan 21-18 pada pusingan pertama. Sementara itu, Tommy berkata beliau mengambil keputusan untuk menarik diri daripada meneruskan permainan kerana tidak lagi mampu menanggung kesakitan di bahagian pinggangnya. Katanya, kecederaan yang dialami ketika separuh akhir Terbuka India minggu lepas kembali menghantuinya sejurus perlawanan menentang Lin Dan bermula. "Saya merasakan saya sudah tidak mampu bermain dengan sempurna pada perlawanan ini. Mahu bergerak ke depan juga tidak mampu apatah lagi mahu pantas dalam mengawal gelanggang," katanya yang agak kecewa tidak dapat meneruskan perlawanan dengan jaguh China itu. Beliau akan kembali ke Indonesia untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat keputusan sama ada menyertai kejohanan Terbuka Singapura atau terpaksa melupakan dulu kejohanan itu bagi mendapatkan rawatan dan rehat yang secukupnya. "Saya mahu cepat sembuh," katanya.