suria

Malaysia Gagal Ke Pusingan Akhir Kejohanan AFC B-23 2016

Ketua pasukan Jepun Endo Wataru (tengah) dihalang pemain Malaysia Kenny Pallraj Davaragi (kanan) semasa melakukan sepakan ke gawang gol Malaysia pada perlawanan kelayakan Kejuaraan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun di Stadium Shah Alam, malam Selasa. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Hasrat Malaysia meraih slot ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 2016 tidak kesampaian selepas mengalami kekalahan kedua pada aksi terakhir pusingan kelayakan Kumpulan I, malam Selasa.

Kekalahan tipis 0-1 skuad B-22 negara kepada Jepun di Stadium Shah Alam malam Selasa, sekali gus menutup terus peluang mereka beraksi di pusingan akhir kejohanan berkenaan pada Januari tahun depan.

Kemenangan ketiga berturut-turut skuad muda 'Samurai Biru' itu, menyaksikan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menang 7-0 berdepan Macau pada aksi pembukaan Jumaat lepas sebelum mengalahkan Vietnam 2-0 di venue sama Ahad lepas.

Pada aksi malam Selasa, Jepun yang dibarisi skuad simpanan ternyata menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Malaysia sebaik sahaja perlawanan bermula.

Penyerang Muhammad Farhan Roslan berpeluang membuka jaringan skuad negara pada minit ke-29 namun percubaannya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Jepun, Ayumi Niekawa.

Asakan berterusan Jepun akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang mewakili kelab Switzerland, BSC Young Boys iaitu Yuya Kubo menanduk masuk gol hasil hantaran rakan sepasukan pada minit ke-41.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Jepun kendalian Makoto Teguramori terus mengasak namun dihampakan oleh kekebalan benteng pertahanan negara yang 'berkampung' di halaman sendiri dan keputusan 0-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, ketua jurulatih skuad B-22 negara, Razip Ismail berkata, beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menentukan nasibnya selepas anak buahnya gagal layak ke pusingan akhir kejohanan berkenaan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut, terpulang kepada FAM bagi menentukan nasib saya (pada masa depan) namun secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi pemain saya," katanya.

Kapten pasukan B-22 negara, Nazirul Naim Che Hashim pula mengakui banyak kelemahan mereka yang perlu diperbaiki terutamanya apabila bersaing dengan pasukan yang hebat seperti Jepun.

"Berbeza dengan Piala Bangabhandu di mana kita muncul juara, pemain yang beraksi pada kejohanan kelayakan ini mempunyai corak permainan yang bagus, jadi banyak pengajaran kita dapat pada kejohanan ini," katanya.

Dalam pada itu, Teguramori memuji peningkatan prestasi yang ditampilkan anak buahnya pada kejohanan tersebut, di samping mereka mampu berdepan dengan keadaan cuaca panas terik di negara ini.

"Saya gembira kerana pemain kami dapat mengekalkan rekod bersih (tanpa kalah) namun beberapa aspek perlu dipertingkatkan sebelum pusingan akhir di Qatar (tahun depan)," katanya.

Artikel Lain