suria

Boling: Rafiq, Natasha Raih Emas Buat Malaysia Di Macau

Rafiq Ismail (kiri) dan Natasha Roslan, masing-masing meraih pingat emas dalam acara Masters Lelaki dan Wanita pada hari terakhir Kejohanan Boling Belia Asia ke-18 di Macau, Selasa.

KUALA LUMPUR: Pemain boling muda Malaysia menyerlahkan prestasi pada hari terakhir Kejohanan Boling Belia Asia ke-18 di Macau pada Selasa, apabila meraih dua lagi pingat emas.

Dua pingat emas tersebut adalah menerusi Muhammad Rafiq Ismail dan Natasha Roslan, masing-masing dalam acara Masters Lelaki dan Wanita.

Barisan pemain boling muda negara mengakhiri cabaran pada kejohanan berkenaan dengan mengutip keseluruhan enam pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

Muhammad Rafiq yang baru dinobatkan juara kebangsaan, sekali lagi menampilkan prestasi membanggakan apabila menamatkan aksi pada kejohanan tersebut dengan meraih pingat emas keempat bagi dirinya pada Selasa.

Muhammad Rafiq, 18, yang mendahului acara Masters yang berlangsung sebanyak 16 permainan dengan 3,873 jatuhan pin, mara ke peringkat akhir stepladder sebagai pilihan utama. 

Beliau menewaskan pencabarnya dari Indonesia Billy M Islam, 203-183 untuk meraih pingat emas keempatnya pada kejohanan tersebut, manakala Billy menempah tempat ke peringkat akhir selepas menumpaskan Enzo Hernandez dari Filipina 256-216.

Muhammad Rafiq, sebelum ini memenangi pingat emas dalam acara perseorangan, beregu dan keseluruhan (all-events) pada kejohanan tersebut.

Dalam kategori wanita, Natasha Roslan terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menumpaskan Emily Rigney dari Australia untuk meraih pingat emas.

Natasha, 19, yang mara sebagai pilihan utama di peringkat akhir stepladder, tumpas pada permainan pertama 180-202 kepada Emily, namun bangkit dalam saingan penentuan dengan kemenangan 244-204. 

Sementara, Emily menempah tempat ke peringkat akhir selepas mengalahkan Futaba Imai dari Jepun 248-173 yang meraih pingat gangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain