KUALA LUMPUR: Seorang anak petani dari India, K Srikanth merupakan remaja yang dilahirkan dengan bakat semulajadi dalam permainan badminton. Dia dan adiknya, K Nandagopal kini menjadi contoh dalam keluarganya sebagai ahli sukan dan mereka terbukti berjaya. Nandagopal cuba mencipta nama dalam acara beregu namun Srikanth sudah ke depan dengan menunjukkan prestasi cemerlang dalam acara perseorangan lelaki. Apabila diminta untuk menjelaskan bagaimana prestasinya melonjak naik secara drastik, Srikanth berkata, dia membesar dengan sukan badminton. "Saya mula bermain badminton ketika berusia 10 tahun dan menjadi lebih serius ketika 16 tahun. Pencapaian itu bukan satu sentuhan ajaib semata-mata tetapi hasil erja keras. "Saya gembira berada di tangga teratas kerana semua orang mahu berada di peringkat ini. "Tetapi saya perlu bekerja keras mulai sekarang kerana saingan semakin sengit dan perlu menambah baik corak permainan," kata Srikanth, yang berjaya mendaki dari kedudukan 31 rangking dunia ke tempat keempat ketika ini. Kemuncak kariernya berlaku ketika dia mengalahkan Lin Dan 21-19, 21-17 pada Kejohanan Badminton Terbuka China pada November tahun lepas. Pemain berusia 22 tahun itu berazam untuk memenangi trofi ketiga berturut-turut pada Terbuka Malaysia minggu ini selepas memenangi Terbuka India minggu lalu dan Terbuka Switzerland awal bulan ini. Dia dilihat menghadapi saingan sengit pada pusingan pertama menentang pemain England, Rajiv Ouseph dan berjaya memenanginya 21-10, 15-21, 21-16 pada Rabu. "Saya memberikan 100 peratus dan Ouseph bermain dengan sangat baik. Saya juga membuat banyak kesilapan dan memberinya terlalu banyak masa. "Ini adalah kejohanan antarabangsa ketiga saya bulan ini dan saya berasa sedikit letih," katanya. Srikanth akan menghadapi Tian Houwei untuk pusingan kedua pada Khamis dan China dilihat telah mengalahkan wakil tunggal Malaysia, Zulfadli Zulkiffli dalam pusingan pertama.