NOVAK Djokovic merangkul trofi Terbuka Miami kelima selepas menewaskan Andy Murray 7-6 4-6 6-0 pada aksi final di Key Biscayne, Florida, awal pagi Isnin. Pemain kelahiran Serbia itu kini menewaskan Murray dalam 10 pertemuan berturut-turut di gelanggang keras. "Permainan agak brutal, panas. Saya sudah bersedia dari segi fizikal. Ia bukan kali pertama saya bertemu dengan Andy. "Seperti yang saya jangkakan, rali yang panjang dan saya berjaya bermain set ketiga. Saya amat gembira dengan kejayaan ini," kata Djokovic. Selepas bangkit di set kedua, Murray mula keletihan dan gagal mengutip sebarang mata pada set penentuan. Murray masih gagal menyekat Djokovic yang turut menewaskannya pada final Terbuka Australia dan separuh akhir di Indian Wells.