PETALING JAYA: Kejayaan Datuk Nicol David mendominasi dunia squash tidak akan berjaya tanpa bantuan Liz Irving. Pemain nombor satu dunia itu memberi penghormatan kepada jurulatihnya semasa majlis penghargaan pelanggan kumpulan CIMB di Kuala Lumpur, Ahad untuk meraikan kejayaan beliau sebagai pemain nombor satu paling lama. Nicol berjaya menjadi pemain paling lama memegang rekod pemain nombor satu dunia pada Februari lalu melepasi rekod pemain New Zealand, Susan Devoy selama 105 bulan pada tahun 1984-1993. Pada April ini, beliau telah menjadi pemain nombor satu dunia selama 108 bulan. "Liz adalah orang yang bertanggungjawab mengubah cara permainan saya serta membantu mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang kerier saya. "Saya terpaksa bermula dari bawah semasa berpindah ke Amsterdam 12 tahun lalu dan saya terpaksa mempelajari teknik dan asas yang kukuh," kata Nicol. "Liz juga tahu apa yang saya perlukan dan dia berjaya mengumpulkan orang yang mampu bekerja dengan saya sebagai pasukan. "Saya juga pernah beberapa kali ke Melbourne untuk berlatih bersama Sarah Fitz-Gerald dan Vicki Cardwell yang juga bekas bintang nombor satu dunia dan juara Australia kerana Liz yakin mereka mampu memberikan input tambahan dalam permainan saya. "Dia bukanlah seorang yang suka mengawal pemainnya dan dia juga seorang yang amat terbuka untuk menerima idea dan pendapat daripada jurulatih lain. "Saya juga gembira kerana dia masih lagi mahu bersama saya sepanjang 12 tahun," tambah Nicol lagi. Liz Irving (kanan) Setakat ini, Nicol telah berjaya memenangi 79 kejuaraan termasuk lapan kejuaraan terbuka dunia serta lima kejuaraan terbuka British. Beliau juga telah mengondol dua pingat emas di sukan Komanwel, enam pingat emas di Sukan Asia dan tiga pingat emas di kejohanan Dunia. Walaupun telah menceburi sukan ini selama 15 tahun, Nicol masih lagi bersemangat untuk memburu kejayaan. "Saya sangat bersemangat dalam apa yang saya lakukan, dan saya ingin lakukan yang terbaik dan menang," kata Nicol lagi. Bagi cabaran seterusnya, Nicol akan mempertahankan kejuaraan British pada 11 hingga 17 Mei. Beliau juga akan mengambil bahagian dalam kejohanan Individu Asia di Kuwait pada 1 hingga 5 Mei sebelum ke England. "Saya berada di prestasi terbaik dan saya ingin lihat sejauh mana saya mampu bermain. "Saya rasa sungguh teruja tetapi saya perlu konsisten dan menguatkan lagi kekuatan mental," kata Nicol.