suria

Nilai Saya Selepas Sekatan FFP - Manuel Pellegrini

PENGURUS Manchester City, Manuel Pellegrini percaya dia patut dinilai pada musim depan iaitu selepas sekatan Financial Fair Play (FFP) terhadap kelab tersebut ditarik.

Hal ini kerana, selepas sekatan FFP ditarik balik, Pellegrini dapat mengeluarkan perbelanjaan lebih £50 juta bagi memburu bintang dunia untuk memantapkan pasukan itu yang dilihat semakin lemah.

City kini berada di kedudukan ke empat selepas Arsenal dan Manchester United mencatat kemenangan pada Sabtu tetapi kelab itu mempunyai peluang untuk kembali ke kedudukan kedua selepas menang ketika menentang Crystal Palace.

Pellegrini menyifatkan denda yang dikenakan ke atas kelabnya serta terpaksa menggunakan jumlah wang yang sedikit dalam pembelian pemain mengikut peraturan FFP sebagai satu tindakan yang tidak adil.

Walaupun telah membelanjakan sebanyak  £50 juta bagi mendapatkan  Eliaquim Mangala dan Wilfried Bony, dia merasakan kelabnya dilayan dengan teruk.

"Saya rasa musim depan kami tidak akan didenda jadi kami boleh bersaing seperti pasukan lain di England dan itu sangat penting.

"Banyak pasukan yang kuat di England serta di Eropah dan kita tidak boleh membiarkan mereka mempunyai kelebihan tersebut. Setiap tahun kami menghadapi masalah kekurangan pemain dan perlu mengeluarkan perbelanjaan yang kecil untuk mendapatkan pemain.

"Kami membelanjakan wang untuk mendapatkan pemain tetapi pasukan lain berbelanja lebih banyak," tambahnya lagi.

Dua tahun lalu, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah menyekat perbelanjaan City pada dua waktu perpindahan dengan hanya membenarkan pasukan tersebut membelanjakan wang sebanyak  £50 juta (RM 270 juta) sahaja.

"Saya rasa isu besar yang sering dibangkitkan terhadap pasukan ini adalah mengenai wang.

"Itu bukan cara untuk menilai sesebuah pasukan kerana terdapat banyak kelab yang membelanjakan jumlah wang yang banyak tetapi tidak mampu mencapai sasaran yang dikehendaki.

"Manchester City telah memenangi dua kejuaraan Liga dalam masa empat tahun dan kami perlu menerima kritikan jika kami mahu menjadi pasukan terbaik.

"Ianya sangat penting untuk pasukan kami menerima serta mengawal emosi daripada kritikan yang diberikan supaya pemain dapat beraksi dengan baik pada setiap perlawanan," kata Pellegrini lagi.

Artikel Lain