suria

Liga Turki Digantung Selepas Insiden Serangan Ke Atas Bas Pasukan Fenerbahce

Pemandu bas pasukan Fenerbahce, Ufuk Kiran berjalan keluar dari bas yang diserang dengan kecederaan di dahinya masih kelihatan dengan jelas.

LIGA Turki digantung selama seminggu ekoran tragedi bas pasukan Fenerbahce diserang Sabtu lalu.

Bas yang membawa pemain kelab tersebut telah diserang ketika dalam perjalanan pulang ke lapangan terbang selepas perlawanan menentang pasukan Cayukr Rizespor. Fenerbahce menang 5-1.

Keputusan itu turut melibatkan perlawanan suku akhir Piala FA Turki.

Ekoran kejadian itu, Fenerbahce pada Ahad mendesak supaya semua perlawanan liga digantung sehingga isu tersebut diselesaikan dan mereka yang terlibat ditangkap.

Persekutuan Bolasepak Turki (TFF) kemudian telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Sukan, Akif Cagatay Kilic dan mereka mengambil keputusan untuk mengantung kesemua perlawanan liga selama seminggu.

"Ini adalah satu bentuk serangan yang bukan sahaja tidak bermaruah malah penakut," tegas Kilic sebagaimana yang dipetik di dalam laman web rasmi TFF.

Malah katanya, serangan itu harus dilihat sebagai bukan sekadar serangan ke atas kelab Fenerbahce, tetapi juga ke atas keseluruhan sukan Turki dan juga bolasepak Turki.

"Saya yakin kita semua akan berdiri atas satu suara menentang jenayah ini," ujarnya.

Serangan itu menyaksikan pemandu bas berkenaan Ufuk Kiran, mengalami kecederaan di dahi.

Fenerbahce adalah kelab dari Istanbul dan di antara kelab Turki yang popular dan dikenali ramai di Eropah selain Galatasaray.

Dua orang pemain popularnya ialah Dirk Kuyt yang merupakan bekas kapten Liverpool dan Raul Meireles yang pernah memenangi Piala Eropah bersama Chelsea pada tahun 2012.

Fenerbahce ditubuhkan pada 1907 dan merupakan juara bertahan Liga Super Turki.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain