suria

Tottenham Hotspurs Uji Harimau Malaya Pada Mei

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bersama-sama Ketua Pembangunan Tottenham Hotspur FC Aidan Mullally, Ketua Jurulatih Malaysia Dollah Salleh serta Duta Tottenham Hotspur FC Ledley King dan para penaja menunjukan jersi kelab bergambar bersama kelab Penyokong Rasmi Tottenham Hotspur FC di Malaysia selepas sidang media sempena kunjungan pasukan Tottenham Hotspur ke Malaysia untuk piala AIA pada Selasa.

PETALING JAYA: Pasukan Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur bakal menguji skuad Malaysia XI buat pertama kali sejak 1979 sempena Piala AIA di Stadium Shah Alam pada 27 Mei ini.

Perlawanan sempena jelajah Tottenham ke Asia itu juga penting bagi pasukan Malaysia sebagai persediaan menghadapi saingan pusingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan 2015 sebagai tahun yang menarik kerana arena bola sepak negara akan menerima kunjungan dari pasukan Tottenham dan Liverpool.

"Tahun ini merupakan tahun yang menarik buat peminat bola sepak negara kita kerana pasukan Malaysia akan diuji dua pasukan hebat daripada Liga Perdana Inggeris, Tottenham dan Liverpool.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh turut teruja untuk menghadapi cabaran Tottenham walaupun mengetahui anak didiknya bakal berdepan ujian getir.

"Perlawanan ini sememangnya penting kerana ia dapat memberi pengalaman kepada pemain-pemain negara dan ia pasti sukar untuk menghadapi kelab seperti Tottenham. Tetapi saya akan membuat persediaan supaya mereka dapat memberikan yang terbaik," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino berkata "Kami gembira untuk bertandang ke Malaysia dan berharap dapat memberikan peminat kami peluang untuk melihat aksi menentang pemain terbaik negara mereka.

Dalam pada itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Tottenham Hotspur, Aidan Mullaly memberitahu, pasukan itu bakal menurunkan pemain-pemain utama bagi menguji anak didik Dollah.

"Pemain pemain utama akan beraksi pada perlawanan itu dan pemain muda juga akan diberi masa di dalam padang untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman," katanya.

Tottenham Hotspur akan berdepan pasukan Malaysia XI sebelum berlepas ke Sydney untuk menentang Sydney FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium ANZ pada Sabtu berikutnya.





Artikel Lain