suria

Ronaldo Jaringkan Gol Ke-300 Real Dalam Kemenangan Keatas Rayo Vallecano

Ronaldo menanduk masuk golnya yang ke-300 untuk Real Madrid sekaligus menjadikannya hanya pemain ketiga Real selepas Raul dan Di Stéfano untuk mencatatkan rekod sedemikian dalam sejarah kelab tersebut. Namanya kini akan tercatat sebagai seorang legenda di kelab tersebut.

> Cristiano Ronaldo menjaringkan golnya yang ke-300 untuk Real Madrid

> Pemain Portugis itu mencatat angka tersebut dalam hanya 288 perlawanan mewakili Real

> Dia kini sedang mengejar rekod Alfredo Di Stefano yang menyumbat 307 gol dan Raul 323 gol

> Tapi Barcelona masih mendahului La Liga

> Kemenangan Real letakkan mereka hanya empat mata di belakang Barca

NAMPAKNYA macam Cristiano Ronaldo tidak boleh berhenti menjaringkan gol.

Dalam perlawanan yang menyaksikan Real Madrid menewaskan Rayo Vallecano 2-0, Ronaldo menanduk masuk golnya yang ke-300 buat Real.

Kemenangan tersebut membolehkan Real merapatkan jurang hanya kepada empat mata dengan pendahulu liga, Barcelona dengan hanya tinggal baki lapan perlawanan sahaja lagi untuk diharungi.

Hanya hujung minggu lalu, Real membuli pasukan kerdil, Granada 9-1 dengan Ronaldo sahaja menyumbat lima biji gol.

Real terdesak untuk menundukkan Rayo selepas mereka mengetahui Barcelona berjaya menumpaskan Almeria 4-0 di tempat sendiri.

Jika Real tidak menang, jurang mata akan menjadi tujuh.

Sementara itu statistik menunjukkan Ronaldo telah menjaringkan 99 gol di bawah pengurus Carlo Ancelotti dalam hanya 89 perlawanan.

Gol yang ke-300 jaringan pemain berusia 30 tahun ini telah meletakkannya hanya kurang tujuh gol sahaja lagi untuk menyamai rekod penyerang legenda Real, Di Stefano yang telah menjaringkan 307 gol dalam 396 perlawanan untuk kelab tersebut.

Ronaldo juga kini hanya kekurangan 23 gol sahaja lagi untuk menyamai rekod Raul yang mencatatkan 323 gol dalam 741 perlawanan mewakili Real.

Dengan rekod jaringannya yang cemerlang, Ronaldo dilihat tiada masalah untuk memecahkan kedua-dua rekod berkenaan dalam tempoh setahun dari sekarang untuk mencatatkan namanya sebagai legenda baru Real Madrid.

Dia kini telahpun mencatatkan rekod sebagai pemain ketiga selepas Raúl (323) dan Alfredo Di Stéfano (307) untuk mencatatkan 300 jaringan gol untuk Real.

Apa yang membezakan dia dengan mereka berdua ialah, Ronaldo hanya memerlukan 288 perlawanan untuk mencatatkan rekod berkenaan sedangkan Raúl 741 perlawanan dan Di Stéfano 396.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain