suria

Matthew Davies Jadi Perhatian Peminat, Jurulatih

PETALING JAYA: Nama Matthew Davies menjadi topik hangat bagi peminat-peminat bola sepak tanah air , lebih-lebih lagi apabila pemain kacukan Malaysia-Australia ini telah diikat bersama pasukan Pahang.

Pemain berusia 20 tahun ini layak mendapat status kerakyatan Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Sabah manakala bapanya merupakan warganegara Australia.

Ironinya, kemunculan Davies seperti 'bulan jatuh ke riba' bagi pasukan muda negara, lebih-lebih lagi bagi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang kini dalam persiapan menghadapi Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

Pengendali B-23, Datuk Ong Kim Swee mengakui kehadiran Davies menguntungkan bukan sahaja untuk skuad muda, tetapi untuk jangka panjang pasukan bola sepak negara.

"Selepas dimaklumkan tentang Matt Davies, saya tahu dia bermain dengan Perth Glory dan mempunyai kap sebanyak 19 kali, malah beraksi dalam liga yang lebih baik. Saya perlu melihat aksi dia dalam masa terdekat ini.

"Kalau dia menunjukkan pretasi yang baik, ia akan menguntungkan pasukan B-23 negara dan juga untuk bola sepak negara," komen Kim Swee mengenai pemain tinggi lampai itu.

Menurut Kim Swee, peluang untuk mendapatkan khidmat Davies lebih cerah kerana posisinya sebagai bek kanan memang dialu-alukan.

"Kekurangan skuad B-23 sekarang adalah pemain di bek kanan. Kita hanya ada Ariff Farhan dan Che Rashid di posisi itu, jadi dengan adanya Davies ia mampu memberi impak yang lebih baik kepada barisan pertahanan. Saya masih lagi mempunyai satu kekosongan bagi posisi itu, namun ia bukan sahaja untuk Davies tetapi terbuka kepada pemain-pemain lain.

"Bagaimanapun, kita perlu tahu sama ada pemain ini ada keinginan bermain untuk negara. Kalau tidak, ianya akan jadi sia-sia," tambah Kim Swee.

Senario pemain kacukan ini bukanlah perkara baharu  memandangkan sebelum ini dua lagi pemain kacukan Brendan Gan (Kelantan) dan Junior Eldstal (JDT) turut mendapat perhatian dan kini beraksi dengan pasukan pilihan masing-masing.  

Dalam pada itu, pasukan Pahang tidak membuang masa untuk mengikat Davies sebagai pemainnya.

Malah pengendali pasukan juara Piala FA dan Piala Malaysia 2014, Zainal Abidin Hassan mengakui Davies mampu memantapkan barisan pertahanan dalam misi melayakkan diri ke final Piala AFC, aksi Piala FA dan Liga Super musim ini.

Matthew Davies, Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain