KUALA LUMPUR: Amaran tegas kepada atlet-atlet negara agar sesekali cuba mengambil atau menggunakan bahan-bahan terlarang menjelang temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di Singapura pada Jun ini. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ujian saringan akan dilakukan kepada setiap atlet menjelang temasya dwitahunan itu bagi pencegahan agar nama negara tidak lagi tercalar kerana masalah doping. “Saya mengambil keputusan drastik yang dipersetujui semua pihak kerana tidak mahu lagi masalah doping berulang. Tahun lalu tiga kes berprofil tinggi dikesan melibatkan atlet negara yang meraih emas serta melibatkan pemain nombor satu dunia. “Jadi tindakan ujian saringan ini merupakan amaran tegas kepada semua atlet negara. Semua atlet individu akan menjalani ujian ini, manakala atlet berpasukan dibuat secara rawak,” jelasnya kepada media selepas majlis pelancaran Web Portal dan Booklet Sukan SEA 2015. Khairy berkata, ujian saringan tersebut akan dibuat sebelum semua atlet berangkat ke Singapura pada Jun ini. “Jika mereka mengambil bahan-bahan terlarang kita boleh mengetahui lebih awal. Dan ujian ini akan dibuat tanpa sebarang notis kepada mereka. “Malah saya ingin ingatkan juga kepada semua atlet agar tidak mengambil atau menggunakan bahan-bahan yang tidak pasti. Sebelum ini ada satu kes yang mana atlet ini membeli bahan-bahan terlarang melalui internet. “Apa sahaja yang masuk ke dalam badan adalah tanggungjawab atlet itu sendiri. Jangan makan, minum atau ambil bahan-bahan yang tidak tahu sumbernya kecuali daripada Institut Sukan Negara (ISN),” tambahnya tegas. Tambah Khairy, Singapura juga akan mengadakan ujian darah secara rawak kepada semua atlet. “Biasanya saringan doping dibuat melalui air kencing, tetapi kali ini Singapura mahu membuat penambah baikkan kerana sesetengah bahan terlarang hanya boleh dikesan melalui ujian darah. “Ia juga akan dibuat secara rawak. Semua secara rawak,” jelasnya. Dalam pada itu, Khairy berkata Web Portal dan Booklet Sukan Sea ini dilancarkan bagi mendapat segala maklumat mengenai temasya ini dengan lebih cepat dan terperinci. “Dalam portal ini kita akan muat naik profil berkenaan atlet, pegawai, pasukan dan juga jadual setiap acara. “Dan booklet ini adalah persiapan bagi atlet, jurulatih dan pegurus-pengurus pasukan supaya mereka sudah berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi dan mental juga sudah bersedia. “Ia juga mengenai maklumat-maklumat penting mengenai anti-doping serta lain-lain supaya apabila sampai di Singapura nanti mereka tidak perlu tertanya-tanya isu yang telah dijelaskan,” ujarnya. Selain itu, Khairy turut mendedahkan pada 22-14 Mei ini akan diadakan kem terakhir kontinjen Malaysia sebelum berangkat ke Singapura. “Kem ini penting membina semangat dan motivasi atlet serta pasukan sebelum ke Singapura. “Di situ juga atlet-atlet akan disampaikan segala maklumat atau pesanan terakhir termasuk pengurusan, logistik dan sebagainya,” jelasnya yang mendedahkan lokasi kem terakhir tersebut.