suria

ISN Terus Beri Khidmat Kelas Pertama Kepada Atlet Malaysia

Norza (kanan) beralaman dengan atlet negara yang akan beraksi pada Sukan SEA di Singapura Jun ini.

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memberikan khidmat kelas pertama kepada atlet Malaysia termasuk mencari produk baharu yang dapat memperluas pencapaian mereka dalam bidang sukan masing-masing.

Pengerusi Lembaga ISN Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata institut itu diberikan tanggungjawab yang mencabar dalam menjalankan Program Podium bagi mempersiap atlet-atlet terbaik negara untuk Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang merupakan lanjutan projek 'Road to Rio'.

"Kita diberikan tanggungjawab menjalankan Program Podium, dan apabila kita bercakap tentang mengendalikan yang terbaik, iaitu atlet terbaik di Malaysia, kita perlu menyediakan khidmat kelas pertama termasuk mendapatkan produk yang terbaik dalam pasaran untuk mereka," katanya.     

Beliau berkata demikian kepada pemberitahu selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara ISN dengan Permanis Sandilands Sdn Bhd dan Curtin University, Sarawak (Curtin Sarawak). 

Permanis Sandilands Sdn Bhd diwakili oleh Naib Presiden Pemasaran dan Pembangunan Perniagaannya R.Hemalatha manakala ISN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.  

Bagi perjanjian tiga tahun dengan Permanis Sandilands Sdn Bhd, syarikat itu bersetuju untuk menyediakan produk minuman penyahidratan dan pemulihan untuk atlet negara.

Mengenai MoA dengan Curtin Sarawak,  Dr Ramlan berkata kerjasama itu membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang kejuruteraan dan teknologi sukan. 

Kerjasama itu antara lain membabitkan R&D dalam pengukuran berautomat bagi prestasi atlet, pengurusan data bagi pemprofilan prestasi atlet, mengadaptasi teknologi perubatan dan psikometrik serta pemantauan visual dengan bantuan komputer selain pengurusan dan pentadbiran sukan dan bidang lain.

Mengikut perjanjian itu, aktiviti penyelidikan akan dijalankan di ISN Kuala Lumpur dan kampus Curtin Sarawak di Miri.  Kerjasama itu juga memberikan peluang kepada ISN menghantar empat kakitangannya melanjutkan pengajian  peringkat doktor falsafah di Curtin Sarawak.

"Curtin Sarawak dikenali bagi bidang kejuruteraan dan teknologi, dan ini akan membantu mempromosikan kemajuan sains sukan dan perubatan sukan di Malaysia," kata Dr Ramlan.

Bagi MoA dengan Curtin Sarawak, universitri itu diwakili oleh Dekan Penyelidikan dan Pembangunan Profesor Clem Kuek manakala Dr Ramlan menandatanganinya bagi pihak ISN. -BERNAMA

ISN, Program Podium

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain