LAGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona menyamakan tindakan Louis van Gaal yang tidak menurunkan Radamel Falcao dalam lima perlawanan sebagai syaitan. Bekas penyerang ternama dunia itu berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan Falcao oleh pemberita Colombia dalam satu majlis untuk perlawanan amal di Bogota. Ketika ditanya bagaimanakah Van Gaal menguruskan Falcao, Maradona menjawab," Van Gaal bukan lelaki yang baik. Van Gaal lebih dekat dengan syaitan daripada yang lain." Maradona yang kali terakhir berada di Old Trafford ketika United menentang Liverpool tahun lalu berkata, Falcao perlu pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut sebelum diadaptasikan dengan corak Liga Perdana Inggeris. United sebelum ini menganggap Falcao sebagai pinjaman berbaloi yang akan dibeli pada akhir musim ini kerana membawa rekod jaringan gol yang memberangsangkan. Malangnya sejak menyertai kelab itu, Falcao sehingga kini hanya menjaringkan empat gol.