IPOH: Malaysia menutup tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 dengan kedudukan tercorot setelah tewas 3-1 kepada Kanada menerusi penentuan penalti di Stadium Azlan Shah pada Ahad. Pada perlawanan penentuan kedudukan kelima, Malaysia gagal menyekat Kanada pada pertemuan kali kedua apabila terikat 4-4 pada perlawanan sepenuh masa sebelum melangkah ke sesi pukulan penalti. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia apabila Nabil Fiqri Mohd Noor, Haziq Samsul dan Muhammad Firhan Ashari gagal menyempurnakan tanggungjawab yang diberi. Selepas menampilkan aksi memberangsangkan ketika menewaskan Kanada 4-1pada Sabtu, skuad kendalian Tai Beng Hai itu, mula hilang tumpuan pada penentuan penalti pada perlawanan tersebut. Pada awal perlawanan, walaupun dalam keadaan hujan lebat, kapten pasukan Muhammad Razie Abdul Rahim membuka tirai jaringan pada minit kedua menerusi pukulan sudut penalti. Bagaimanapun, pada suku kedua permainan, Kanada menyamakan kedudukan menerusi pukulan padang yang disempurnakan oleh Gabriel Ho-Garcia pada minit ke-16. Faizal Saari bagaimanapun terus bertindak cemerlang apabila meledakkan gol kedua Malaysia pada minit ke-19 menerusi hantaran oleh Azlan Misron. Skuad Malaysia terus mengasak benteng pertahanan Kanada dan berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-23. Pun begitu, pada suku ketiga Kanada mula menguasai permainan dengan corak pantas dan bertenaga apabila membalas dua gol, sekali lagi hasil jaringan Gabriel Ho-Garcia pada minit ke-26 dan 32. Malaysia bangkit semula dengan malancarkan gerakan pantas untuk menyumbat masuk gol keempat pada minit ke-37 menerusi pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari. Pada suku akhir permainan, Kanada mula menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Matthew Sarmento pada minit ke-49. Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan tamat, pengurus skuad hoki negara Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pemain perlu mengambil kekalahan pada hari ini sebagai satu pengajaran. "Bagus juga kita kalah ataupun tempat tercorot pada kejohanan ini , walaupun baru-baru ini kita menjadi juara di Singapura (perlawanan Pusingan Kedua LigaHoki Dunia 2015), ini satu pengajaran yang hebat," katanya. -BERNAMA