MANCHESTER UNITED sedia melepaskan Robin Van Persie, Rafael dan pemain yang dipinjamkan iaitu Nani dan Hernandez untuk mendapatkan penyerang Uruguay dan pertahanan tengah Brazil yang kini mewakili Paris Saint-Germain (PSG). Akhbar UK, Sunday People melaporkan, United kini sedang melancarkan bidaan sebanyak £57 juta terhadap Edinson Cavani dan Thiago Silva. Old Trafford sebelum ini telah menjalinkan hubungan dengan Cavani sejak setahun lalu selepas pemain itu hampir menyertai United ketika era pimpinan David Moyes. Pengendali pasukan itu, Louis van Gaal ketika ditanya adakah United bakal berdepan saingan Manchester City dan Chelsea untuk mendapat pemain bertaraf bintang, dia menjawab," saya tidak berasa ragu-ragu bahawa pemain akan datang ke Manchester United." Van Gaal turut melihat Silva sebagai pemain senior yang tepat untuk digandingkan dengan Mats Hummels bagi mewujudkan benteng pertahanan. Silva selain itu turut menarik perhatian Chelsea untuk mendapatkannya pada akhir musim ini.