PETALING JAYA: Ketua jurulatih pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan direhatkan sementara berikutan prestasi hambar pasukan musim ini. Menurut Sathia, dia terkejut apabila diberitahu mengenai perkara tersebut. “Setakat ini saya tidak menerima sebarang surat hitam putih dan akan bertemu dengan pihak ATM FA bagi mengetahui status sebenar. “Setahu saya tidak ada istilah ‘direhatkan’ dalam bola sepak. Yang ada sama ada dipecat atau diperlukan,” jelasnya ketika dihubungi pada Selasa. Tambah Sathia dia kecewa kerana perkara ini diumumkan selepas sesi latihan. “Saya diberitahu direhatkan di hadapan pemain-pemain dan saya tidak gembira dengan cara itu. Bagaimana pun, saya sudah memberitahu kepada semua pemain dan pembantu jurulatih, Shahrin Majid agar terus menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya. “Saya akui setakat ini pasukan hanya mencatat satu menang, lima kali kalah dan satu seri. Semua perlawanan kita hanya kalah tipis sahaja kecuali dengan Selangor (1-3) baru-baru ini. “Lagipun aksi liga baharu sahaja bermula dengan tujuh perlawaanan. Musim lalu pun kita berada dalam situasi yang sama tetapi bangkit membaiki kedudukan,” jelasnya mengenai situasi skuad bimbingan musim 2015. Jelas Sathia faktor bayaran gaji juga turut memberi kesan kepada prestasi pasukan. “Bayaran gaji lambat (dua bulan) juga mungkin ada memberi kesan terhadap prestasi pemain-pemain,” katanya. ATM kini berada di tangga penyingkiran (ke-11) dalam Liga Super musim dengan dengan mengumpul empat mata.