suria

China Masters: Dua Beregu Campuran Negara Gagal Ke Separuh Akhir

Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing tewas dalam aksi suku akhir China Masters.

KUALA LUMPUR: Dua pasangan beregu campuran negara gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton China Masters 2015 apabila tewas kepada lawan masing-masing di suku akhir pada Jumaat.

Tan Aik Quan/Lai Pei Jing menamatkan cabaran mereka pada kejohanan berkenaan yang berlangsung di Changzhou, China, setelah tewas kepada pilihan pertama dari China, Liu Cheng dan Bao Yixin 19-21 dan 18-21 dalam masa 36 minit pertarungan. 

Namun, pujian harus diberikan kepada pasangan beregu negara itu yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2013, apabila hampir mengejutkan gandingan tuan rumah itu pada set pertama sebelum tewas 19-21.

Pasangan negara itu cuba memberikan tentangan pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun terpaksa akur dengan kehebatan beregu tuan rumah apabila tumpas 18-21.

Satu lagi pasangan beregu campuran negara Tan Chee Tean/Shevon Lai Jemie juga gagal menempah slot ke separuh akhir apabila kalah kepada pasangan bukan pilihan dari China, Wang Yilv/Tang Yuanting 11-21 dan 13-21.

Pasangan dari China itu hanya mengambil masa 29 minit untuk menewaskanberegu Malaysia itu yang berada di ranking ke-51 dunia.

China Masters

Artikel Lain