suria

Liga Super: Shahrin Yakin ATM Mampu Cemerlang Musim Ini

Ketua Pasukan ATM Hairuddin Omar cuba dihalang oleh pemain Sarawak Mazwandi Zekeria (kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, Sabtu. Foto: BERNAMA

KUCHING: Pemangku ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Shahrin Abd Majid @ Saiyadi berpuas hati dengan kejayaan pasukannya mengutip satu mata apabila seri 1-1 dengan Sarawak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Negeri pada Sabtu malam.

“Keputusan ini adalah permulaan yang baik buat kami setelah tewas dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” kata Shahrin kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Beliau yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih ATM daripada B.Sathianathan berkata kejayaan malam tadi akan menjadi pembakar semangat untuk pasukannya bangkit meneruskan saingan dalam Liga Super musim ini.

“Kejayaan mencuri satu mata menentang pasukan seperti Sarawak dan bermain pula di Kuching bukanlah tugas yang mudah tetapi pemain-pemain saya berjaya melakukannya.

“Ini adalah permulaan yang baik dan kami ada 14 perlawanan lagi untuk dilalui dan diharap selepas ini kami akan terus mencipta kemenangan,” kata beliau sambil menambah semangat pemain pasukan bertambah baik dan memberangsangkan.

Mengenai tugas yang disandarkan di bahunya, Shahrin yang merupakan bekas pemain kebangsaan berkata: “Ia merupakan tugas yang sangat berat, namun saya akan berusaha untuk memberi yang terbaik untuk kami terus menjadi antara pasukan terbaik dalam Liga Super musim ini.”

Pengurusan ATM membuat keputusan merehatkan B. Sathianathan selepas kekalahan berturut-turut termasuk kepada JDT dan Selangor dan melantik Shahrin sebagai jurulatih interim (pemangku jurulatih) dan perlawanan menentang Sarawak merupakan tugas pertama beliau sebagai pembimbing utama pasukan ATM.

Sementara itu, jurulatih Sarawak Robert Alberts berkata pasukannya sepatutnya mencipta kemenangan mutlak jika pengadil perlawanan Samsudin Ibrahim tidak begitu mudah menghadiahkan sepak penalti kepada ATM.

“Kami jelas menguasai perlawanan tetapi terlalu banyak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Sarawak mendahului pada minit ke-63 hasil tandukan Ryan Griffiths yang menyambut bola tendangan bebas Ashri Chuchu, manakala ATM menyamakan jaringan pada minit ke-68 hasil sepak penalti yang disempurnakan Jeery Nelson PalaciosSuazo.

Dalam perlawanan itu, Sarawak turun tanpa dua pemain tonggak utama iaitu pemain importnya Ivan Fatic dan Rames Lai Ban Huat yan masing-masing digantung satu dan dua perlawanan.

Sarawak kekal di tangga kelapan Liga Super dengan sembilan mata manakala ATM di tangga ke-11 dengan lima mata.

Liga Super, ATM, Shahrin Majid

Artikel Berikut

Artikel Lain