suria

Litar Sepang Dibuka Untuk Berbasikal, Larian

SEPANG: Bagi memastikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sekadar venue perlumbaan acara permotoran, satu program ‘Motorsports Free Day’ akan dianjurkan bermula 1 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali percaya ramai yang berminat menjalani aktiviti riadah seperti berbasikal dan larian di litar antarabangsa tersebut.

"Jadi kita mengambil keputusan akan buat program ‘Motosport Free Day’ seperti yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ‘Pagi Tanpa Kenderaan’ (setiap minggu pertama hari Ahad) selama dua jam.

"Konsepnya sama, cuma kita akan cuba sebulan sekali dahulu, iaitu pada Sabtu atau Ahad dan akan lihat sambutannya.

"Buat permulaan, program ini akan bermula pukul 7-9 pagi memandangkan jadual program permotoran di SIC tahun ini sudah penuh," jelasnya selepas turut menyertai kayuhan bersama media mengelilingi litar pada pagi Khamis.

Jelas Razlan, beliau tidak mahu SIC hanya untuk acara perlumbaan bermotor sahaja kerana ia boleh diadakan pelbagai aktiviti lain.

"Sebelum ini aktiviti seperti ini diadakan sebagai program sampingan yang diselitkan ketika aksi Grand Prix Formula Satu ataupun MotoGP.

"Tetapi sekarang kita mahu aktiviti ini lebih terbuka, malah semua orang boleh datang ke sini, berbasikal, berjoging, ‘skateborad’, 'roller blade’ dan sebagainya.

"Dalam masa sama juga kita membuka peluang perniagaan kepada industri berbasikal, peniaga makanan dan minuman, malah banyak lagi.

"Malah kita tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk menyertai program ini kerana kita ingin ‘merakyatkan’ litar ini," jelasnya.

Razlan yang juga aktif dalam acara berbasikal berkata, rata-rata komuniti di sekitar Sepang berkayuh ke Putrajaya.

"Jadi selepas ini,  semua orang termasuk dari Putrajaya, boleh datang ke litar ini kerana ia lokasi paling sesuai tanpa gangguan trafik serta masalah lain.

"Saya juga akan berkayuh di sini bagi persiapan menyertai Ironman Langkawi November ini,” tambahnya.

Litar Sepang, SIC

Artikel Berikut

Artikel Lain