SEPANG: Kemerosotan prestasi pelumba Moto3 negara dalam aksi kelas ketiga Kejuaraan Motosikal Dunia (motoGP) Muhammad Zulfahmi Khairuddin berpunca daripada masalah keyakinan diri. Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali mendedahkan, selain bergelut dengan masalah jentera, pelumba berusia 24 tahun itu sukar mencari penyelesaian terhadap masalah keyakinan diri. "Memang semua pasukan yang menggunakan jentera KTM musim ini mengalami masalah prestasi, seperti pasukan lama Zulfahmi dulu, Ajo yang masih belum menguasai kedudukan lima teratas. "Masalah jentera itu menyebabkan pelumba kita sukar beraksi dengan baik. Bagaimanapun, rakan sepasukan Fahmi, Jakob Kornfiel dapat mengutip mata walaupun bermula di barisan belakang. "Sebaliknya, Zulfahmi yang memang berada di petak belakang gagal mengejar, malah turut membuat banyak kesilapan ketika perlumbaan. Masalah utama adalah diri dia sendiri, tidak ada keyakinan diri,” jelas Razlan kepada media selepas sesi berbasikal di SIC bersama media, Khamis. Menurut Razlan, Zulfahmi sedar mengenai situasi buruknya itu dan pelumba terbabit tidak mempunyai pilihan selain memperbaiki persembahan secepat mungkin. "Sebelum perlumbaan di Qatar dan Amerika Syarikat, saya sudah berbincang dengannya apa yang kami harapkan dan dia memang tahu apa yang perlu dilakukan untuk pasukan. "Sepatutnya dari pusingan pertama lagi dia sudah kutip mata, namun masih gagal. Saya akan nilai prestasi berdasarkan setiap pusingan dan buat ‘review’ pertama pada Ogos ini ketika musim rehat selama sebulan. "Dalam tempoh itu, dia masih mempunyai masa untuk mengutip mata. Kalau tidak memang susah saya nak pertahankan dia. Paling penting dia perlu menyelesaikan masalah dalam dirinya dan minta pertolongan jika tidak pasti. Saya harap ia tidak terlambat," tegas Razlan. Tambahnya, salah satu sebab pasukan Drive M7 SIC Racing Team ditubuhkan adalah kerana Zulfahmi dan pelumba terbabit diharap dapat berubah. "Saya harap menjelang aksi di Eropah (Sepanyol) minggu depan, KTM dapat menyediakan jentera terbaik, dan dia boleh memberi sesuatu ketika pusingan kelayakan walaupun saya sendiri tidak pasti. "Kita dah buat segalanya untuk dia, tetapi sehingga kini Zulfahmi belum tingkatkan prestasinya," jelas Razlan. Pada pusingan pertama di Qatar bulan lalu, Zulfahmi hanya menamatkan saingan di tempat ke-28, manakala tempat ke-20 pada pusingan kedua dan ketiga (Amerika Syarikat dan Argentina).