suria

Olahragawan Negara 2014 Diteliti Semua Sudut - Jawatankuasa Pemilihan

PETALING JAYA: Isu doping melibatkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak menghalang namanya untuk dicalonkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2014.

Namun timbul persoalan apabila nama Chong Wei berada dalam senarai penuh pencalonan yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh pada Selasa yang mana dianggap tidak adil kepada atlet-atlet lain yang turut mencatat keputusan cemerlang tahun lalu.

Bagaimanapun, salah seorang Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2014, Ahmad Faisal Jamal menjelaskan, senarai atlet yang dicalonkan adalah daripada pihak persatuan masing-masing.

"Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyerahkan nama Chong Wei untuk dicalon bagi anugerah ini.

"Kami di pihak Jawatankuasa Pemilihan akan menerima sesiapa sahaja yang menjadi calon. 

"Senarai pencalonan yang diumumkan pada Selasa itu adalah di peringkat awal.

"Selepas ini majlis Jawatankuasa Pemilihan akan menyenarai pendek calon-calon terpilih sebelum diteliti daripada pelbagai aspek dan perkara yang berkaitan.

"Tidak timbul isu adil atau tidak kerana kami akan menilai dalam setiap sudut," jelas Faisal yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) kepada mStar Online pada Rabu.

Selain Chong Wei, beberapa atlet negara lain turut di dicalonkan termasuk jaguh bina badan negara Sazali Samad, Hafifi Mansor (angkat berat), Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Lim Chee Wei (karate), Muhammad Ezuan Nasir Khan (menembak), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Mohd Al-Jufferi Jamari (silat), Mohamad Fairus Abd Jabal (boling padang), Ong Beng Hee (skuasy), Ooi Tze Liang (renang) dan atlet tenpin boling Mohd Rafiq Ismail.

ASN, Lee Chong Wei, SAM

Artikel Berikut

Keputusan Kejuaraan

Artikel Lain