KEMAMAN: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin diKompleks Sukan Gong Badak akan dibuka untuk perlawanan bola sepak malam pada 16 Mei depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Rosli Othman. Beliau berkata ketika ini stadium itu sudah pun mula digunakan untuk perlawanan waktu siang sejak awal bulan ini apabila ia disahkan selamat. "Perlawanan pertama di waktu malam di stadium tersebut menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA 2015 antara Terengganu dengan Lions XII. Semasa perlawanan nanti, stadium akan kita buka separuh bahagian dan hingga ke tingkat lima yang mampu menampung kapasiti penonton sehingga 20,000 orang,"katanya ketika hadir menyampaikan bantuan banjir kepada 45 peserta Pasar Tani Chukai, di sini, Jumaat. Rosli yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kemasik berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum perlawanan itu berlangsung. "Pihak FAM juga akan mengadakan lawatan terakhir di stadium untuk proses penilaian dan meninjau persiapan terakhir kemudahan yang disediakan serta aspek keselamatan stadium tersebut sebelum perlawanan diadakan. "Bahagian stadium yang dibuka adalah di sebelah barat dan di bahagian timur pintu di sebelah luarnya akan ditutup," katanya. Rosli berkata stadium itu dibuka selepas segala kemudahan siap dibaiki iaitu melibatkan pencahayaan (lampu limpah), padang, tempat duduk, tandas dan bilik persalinan. "Buat sementara waktu, stadium akan digunakan dalam keadaan tidak berbumbung tetapi kita akan buat penambahbaikan pada masa akan datang dengan memasang bumbung di bahagian ‘granstan’ yang mana Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif juga telah mengarahkan saya untuk melaksanakan perkara tersebut. Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang siap dibina pada tahun 2008 dengan kos kira-kira RM290 juta itu runtuh di bahagian bumbung pada Jun 2009 di tempat duduk utama.