KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong mempamerkan aksi kurang menarik apabila gagal mara ke pusingan akhir acara 10m platform wanita pada Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015. Pandelela sekadar berakhir di kedudukan keempat pada saingan separuh akhir dengan 335.20 mata pada hari ketiga kejohanan tersebut di Kazan, Rusia, hari ini. Menurut laman web kejohanan, www.fina.org, Pandelela bermula garang apabila membuat terjunan pertama dengan catatan 72.00 mata. Pada cubaan kedua, Pandalela gagal memberikan aksi cemerlang apabila sekadar mencatat 69.60 mata dan episod kemerosotannya berulang sehingga terjunan keempat dengan catatan 62.40 mata dan 54.40 mata, masing-masing. Pandelela cuba memperbaiki jumlah pungutan mata pada terjunan terakhirnya dengan catatan 76.80 mata, namun usahanya itu gagal melayakkan beliau untuk mara ke final. Sebelum ini, pada hari pertama kejohanan, pasangan terjun negara, Ng Yan Wee dan Nur Dhabitah Sabri terlepas pingat gangsa dan terpaksa menduduki tempat keempat dalam acara 3m papan anjal wanita. Dalam acara 10m platform seirama wanita, pasangan Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee hanya mampu menghuni tangga kelima. Pada hari kedua kejohanan, Cheong Jun Hoong juga terlepas pingat gangsa melalui acara 3m papan anjal individu wanita.