suria

Singapura Sudah Bersedia Anjur Sukan SEA Ke-28

SINGAPURA: Singapura yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-28 pada Jun ini, selepas kali terakhir 22 tahun lepas, sudah bersedia untuk menganjurkan temasya sukan berkenaan.

Kesemua venue bagi 36 jenis sukan serta aspek logistik sudah bersedia untuk  menerima kedatangan lebih 7,000 atlet dan pegawai pada temasya sukan tersebut yang akan berlangsung dari 5 hingga 16 Jun.

Singapura diumumkan sebagai tuan rumah temasya sukan itu kali ini pada 2011 ketika berlangsungnya Sukan SEA ke-26 di Palembang dan Jakarta, Indonesia.

Kota Singa itu sebelum ini dipilih sebagai tuan rumah Sukan SEA 2007 dan 2013, namun menolak tawaran tersebut dengan menyatakan untuk membina pusat sukan baharu dikenali sebagai Hab Sukan Singapura.

Pembinaan pusat sukan baharu itu yang siap pada pertengahan 2014, mengandungi 55,000 tempat duduk di stadium nasional yang akan menjadi venue bagi majoriti acara sukan pada Sukan SEA 2015.

Ketua Operasi Venue, Protokol dan Enterprise Risk Management, Lai Chin Kwang berkata Hab Sukan Singapura itu yang terdiri daripada stadium nasional, juga menempatkan satu stadium tertutup, tiga dewan terletak di OCBC Arena serta kolam renang di Pusat Akuatik OCBC.

Lai berkata upacara pembukaan dan penutup Sukan SEA 2015 serta perlawanan bola sepak separuh akhir dan akhir lelaki, akan berlangsung di stadium nasional berkenaan.

"Kami amat teruja dan berbesar hati menjadi tuan rumah Sukan SEA terutama tahun ini bersempena dengan Ulang Tahun ke-50 Singapura. Kami mengalu-alukan anggota Asean untuk datang dan meraikan program-program khas semasa temasya sukan dwitahunan itu," katanya semasa lawatan pra Sukan SEA delegasi Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) ke Hab Sukan Singapura, Ahad.

Delegasi SAM yang terdiri daripada anggota exconya, wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan petugas media itu diberi taklimat oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) mengenai persiapan termasuk logistik sebelum melawat venue-venue utama Sukan SEA 2015 di hab sukan berkenaan.

Keputusan membina hab sukan tersebut yang menelan kos 1 bilion dolar Singapura (RM2.68 bilion) tercetus pada 2001, apabila terdapat hasrat untuk membina semula sebuah stadium baharu di Singapura.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Kamsiah Kamaruddin berkata Singapura memang telah bersedia hampir 100 peratus untuk menerima kedatangan atlet serta peminat sukan khususnya dari negara jiran.

Presiden SAM Ahmad Khawari Isa juga melahirkan rasa puas hati selepas meninjau persiapan Singapura khususnya penyediaan kemudahan dan keperluan pihak media sepanjang membuat liputan temasya itu nanti.

"Kita sangat berpuas hati dan pastinya sangat teruja untuk datang kembali ke Singapura untuk membuat liputan. Selamat maju jaya," katanya.-- Bernama

Singapura, Sukan SEA, Lai Chin Kwang

Artikel Lain