suria

Robin van Persie Tak Mahu Pindah Dari Manchester United

> Dia kini dalam proses terakhir kontrak bersama United

> van Persie akan mencecah usia 32 tahun menjelang permulaan musim baru nanti

> Walaupun hanya diturunkan 25 kali musim ini tapi masih mampu jaring 10 gol

PENYERANG Manchester United, Robin van Persie memberitahu pengurus mereka, Louis van Gaal yang dia mahu terus berada di kelab itu sehingga kontraknya tamat hujung musim depan dan enggan berpindah ke kelab lain walaupun sedar yang dia mungkin tidak lagi menjadi pemain pilihan utama.

Masalah kecederaan lutut yang dialaminya sepanjang musim ini telah menjadikan Van Persie sebagai sekadar pemain sampingan sahaja berbanding dua musim yang terdahulu.

Walaupun dia hanya diturunkan 25 kali sahaja setakat ini tetapi van Persie masih berupaya menjaringkan 10 gol dalam semua pertandingan.

Van Persie, akan mencecah usia 32 tahun sebelum musim baru bermula Ogos nanti dan dia mempunyai kontrak selama semusim lagi untuk dihabiskan bersama United.

Dan salah satu sebab mengapa Van Persie enggan berpindah kerana dia serta keluarganya gembira dengan persekitaran di Utara England, dengan anak-anaknya masih bersekolah di Cheshire.

Van Persie yang tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan liga kerana masalah kecederaan yang dialaminya telah dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Everton.

Khidmatnya mungkin diperlukan Sabtu ini dalam perlawanan menentang WBA kerana Wayne Rooney mungkin terpaksa direhatkan kerana hentakan kuat pada lututnya ketika menentang Everton, Ahad lalu.

Rooney bagaimanapun dilihat berjalan seperti biasa tanpa tongkat pada malam gala Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional (PFA) di London pada malam Isnin.

Van Persie menyertai United pada musim panas 2012 dari Arsenal dan membantu kelab itu muncul juara liga dan dia sendiri muncul sebagai penjaring terbanyak.

Selain Rooney, dia adalah salah seorang pemain United dengan bayaran gaji tertinggi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain