suria

Dua Perseorangan Lelaki, Dua Beregu Mara Ke Suku Akhir Terbuka NZ

Goh Soon Huat
KUALA LUMPUR: Dua pemain perseorangan lelaki dan dua pasangan beregu mara ke suku akhir kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka New Zealand di Auckland, New Zealand.

Goh Soon Huat menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan pilihan keempat Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia 21-17 dan 21-17 pada perlawanan pusingan ketiga, Khamis.

Soon Huat, 24, yang menampilkan prestasi cemerlang selepas memenangi pusingan pertama dan kedua pada Rabu, akan berdepan pemain Thailand Boonsak Ponsana yang mengambil masa 20 minit untuk menewaskan pemain Australia Low Pit Seng 21-5 dan 21-10.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki mengiringi Soon Huat ialah pemain profesional Mohamad Arif Abdul Latif yang mengejutkan pemain Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki.

Mohamad Arif memerlukan masa satu jam dan lapan minit untuk mengetepikan cabaran pemain Hong Kong tersebut dengan 21-17, 14-21 dan 22-20.

Pemain berusia 25 tahun itu dijadual berdepan seorang lagi pemain bukan pilihan, Qiao Bin dari China yang mengalahkan pemain Malaysia, Zulfadli Zulkiffli 21-7, 24-26 dan 21-14.

Nasib malang menimpa pemain nombor dua negara, Chong Wei Feng yang tumpas 16-21, 21-6 dan 18-21 kepada pilihan utama Hsu Jen Hao dari Taiwan.

Sementara itu, tiga pemain perseorangan wanita negara - Julia Wong Pei Xian, Lim Yun Fun dan Lim Chiew Sien mengakhiri cabaran mereka pada kejohanan tersebut selepas tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan ketiga.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan Hoon Thien How/Lim Khim Wah layak ke suku akhir selepas menumpaskan lawan masing-masing pada perlawanan pusingan pertama dan kedua, Khamis.

V Shem/Wee Kiong menamatkan cabaran beregu tuan rumah Abhinav Manota/Dylan Soedjasa dengan 21-13 dan 21-14 pada pusingan pertama sebelum mencatat kemenangan 21-11 dan 21-14 ke atas pasangan bukan pilihan dari China, He Jiting/Nyu Xiaoyu.

Pasangan pilihan kelima itu akan berdepan beregu Indonesia, Markis Kido/Agripinna Prima Rahmanto Putra yang mengejutkan pilihan keempat Raphael Beck/Andreas Heinz dari Jerman.

Sementara, Thien How/Khim Wah mencatat kemenangan mudah ke atas satu lagi pasangan tuan rumah Callum Harfield/Valens Sulaiman 21-8 dan 21-6 sebelum mengalahkan beregu Jepun, Keiichiro Matsui/Koshun Miura 21-16 dan 21-16, sekali gus akan bertemu Li Junhui/Liu Yuchen dari China di suku akhir.

Beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying pula terpaksa akur dengan kehebatan pasangan dari Indonesia Fran Kurniawan/Komala Dewi apabila tumpas 21-14, 21-23 dan 14-21.


Keputusan

Perseorangan Lelaki:

Goh Soon Huat (MAS) mn Dionysius Hayom Rumbaka (INA) 21-17, 21-17

Mohamad Arif Abdul Latif (MAS) mn Vincent Wong Wing Ki (HKG) 21-17, 14-21, 22-20

Chong Wei Feng (MAS) kk Hsu Jen Hao (TPE) 16-21, 21-6, 18-21

Zulfadli Zulkiffli (MAS) kk Qiao Bin (CHN) 7-21, 26-24, 14-21


Perseorangan Wanita:

Lim Chiew Sien (MAS) kk Aya OHORI (JPN) 10-21, 14-21

Julia Wong Pei Xian (MAS) kk He Bing Jiao (CHN) 10-21, 13-21

Lim Yin Fun (MAS) kk Li Yun (CHN) 15-21, 16-21


Beregu Lelaki:


Goh V Shem/Tan Wee Kiong mn He Jiting/Nyu Xiaoyu (CHN) 21-11, 21-14

Hoon Thien How/Lim Khim Wah mn Keiichiro Matsui/Koshun Miura (JPN) 21-16, 21-16



Beregu Campuran:

Chan Peng Soon/Goh Liu Ying (MAS) kk Fran Kurniawan/Komala Dewi (INA) 21-14, 21-23, 14-21

Terbuka New Zealand

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga Sepanyol

Artikel Berikut

Artikel Lain